Ahli Parlimen Labuan akan bangkitkan isu bebas cukai

Bernama
Februari 8, 2024 06:00 MYT
Suhaili akan membangkitkan isu status bebas cukai pulau itu yang semakin terhakis kepada kerajaan Persekutuan. - Foto fail/BERNAMA
LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman akan membangkitkan isu status bebas cukai pulau itu yang semakin terhakis kepada kerajaan Persekutuan.
"(Isu) Keistimewaan Labuan sebagai pulau bebas cukai, kos sara hidup yang tinggi dan kekurangan barangan keperluan yang berterusan akan dibawa kepada perhatian kerajaan Persekutuan.
"Saya akan membangkitkan isu-isu ini pada sesi Parlimen akan datang bermula 26 Feb ini. Saya juga merancang untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetengahkan cabaran-cabaran yang dihadapi Labuan," katanya kepada Bernama selepas mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan 'kepala singa' kepada wakil tujuh tokong di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Suhaili mengaitkan situasi status pulau bebas cukai Labuan itu dengan duti yang dikenakan ke atas rokok dan had pembelian minuman beralkohol.
""Tiada apa yang istimewa mengenai pulau bebas cukai ini lagi kerana pengenaan duti ke atas rokok dan sekatan ke atas pembelian minuman beralkohol," katanya.
Beliau berkata kelebihan sebagai pulau bebas cukai yang semakin berkurangan telah menyebabkan penurunan jumlah pelancong dan kos barangan menjadi lebih tinggi daripada di bandar tanpa status berkenaan.
Pihaknya menurut Suhaili turut merancang untuk membincangkan isu kabotaj dengan Menteri Pengangkutan yang menyokong penghantaran kargo terus ke pelabuhan Labuan.
"Jika kita boleh mewujudkan penghantaran terus kargo ke Labuan tanpa transit melalui pelabuhan Kota Kinabalu, banyak isu berkaitan pengguna boleh diselesaikan," katanya.
Suhaili berkata langkah itu akan membawa kepada harga bebas cukai yang lebih menarik, kos sara hidup yang munasabah dan kemasukan pengunjung yang akan merancakkan ekonomi Labuan.
Beliau juga menekankan peranan sektor peruncitan bebas cukai sebagai sumber pendapatan yang penting dan tarikan pelancong ke Labuan, selain mustahaknya memulihkan status bebas cukai pulau itu secara menyeluruh bagi mengukuhkan ekonomi.
Pengkelasan semula rokok dan produk tembakau sebagai barangan bercukai di semua pulau bebas cukai iaitu Labuan, Langkawi, Tioman dan Pangkor yang berkuat kuasa pada 1 Jan, 2021, telah memberi impak besar kepada daya tarikan dan ekonomi Labuan.
-- BERNAMA
#Ahli Parlimen Labuan #Suhaili Abdul Rahman #pulau bebas cukai #kerajaan Persekutuan
;