Ahli Parlimen junjung kasih Kembara Kenali Borneo
Bernama
September 13, 2023 22:21 MYT
September 13, 2023 22:21 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjelajah dua negeri itu melalui Kembara Kenali Borneo yang melabuhkan tirai hari ini.
Antara Ahli Parlimen yang menyentuh perkara itu di Dewan Rakyat hari ini ialah Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar); Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau); Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran); dan Vivian Wong Shir Yee (DAP-Sandakan).
Mohamad Shafizan ketika perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) menyifatkan kesudian Seri Paduka berdua mencemar duli bertemu rakyat Sabah dan Sarawak sepanjang program itu amat bermakna kepada penduduk di negeri itu.
"Pastinya kami rakyat Sabah dan Sarawak akan merindui Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta anakanda-anakanda yang mesra dan amat mengasihi rakyat jelata yang setia menunggu sepanjang program itu.
"Tinggilah harapan kami rakyat Sabah dan Sarawak agar dapat bersua kembali dengan Seri Paduka berdua di masa akan datang," katanya.
Jeffrey dan Suhaimi juga menjunjung kasih atas kesudian pasangan diraja itu melawat Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang menerusi kembara yang diadakan buat julung kali bagi mengenali Borneo dengan lebih dekat dan menjadi saksi keperluan kedua negeri itu khususnya dari segi pembangunan infrastruktur.
Vivian ketika membahas KSP RMK12 pula berharap agar Kementerian Kerja Raya mengambil maklum terhadap rintihan rakyat Sabah berkenaan keadaan jalan raya di negeri itu susulan lawatan Seri Paduka berdua.
"Semasa Kembara Kenali Borneo, Yang di-Pertuan Agong menerima banyak aduan daripada rakyat Sabah mengenai keadaan jalan raya dan lebuh raya yang sangat teruk di wilayah ini.
"... kami di Sabah memerlukan jalan raya yang berkualiti untuk memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan dan mengurangkan kos penyelenggaraan yang tinggi bagi jalan yang tidak mengikut piawaian," katanya.
Sebelum ini, tular satu video semasa program kembara tersebut membabitkan seorang wanita meluahkan mengenai keadaan jalan di negeri itu kepada Raja Permaisuri Agong.
Kembara Kenali Borneo berakhir di Telok Melano, di selatan Sarawak hari ini selepas memulakan penjelajahan di Tawau, Sabah pada 3 Sept lepas.
Kembara itu yang diadakan buat julung kali bagi merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, menamatkan perjalanan di Sabah pada 7 Sept sebelum memasuki Sarawak menerusi Brunei.
Penjelajahan selama 11 hari itu melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.
Persidangan dewan bersambung esok.
-- BERNAMA