Ahli Parlimen didakwa langgar SOP, polis Kedah buka kertas siasatan

Adie Sufian Zulkefli
Julai 4, 2021 14:16 MYT
Ahli Parlimen terbabit dikatakan sedang duduk di atas meja sambil bersila dan minum teh serta bersembang santai secara terbuka ketika dalam satu program bantuan. - Foto ihsan orang ramai
ALOR SETAR: Polis membuka kertas siasatan berhubung gambar seorang Ahli Parlimen bergelar ‘Datuk’ di negeri ini yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.
Menerusi gambar yang ditular di laman sosial, Ahli Parlimen terbabit dikatakan sedang duduk di atas meja sambil bersila dan minum teh serta bersembang santai secara terbuka ketika satu program bantuan.
Ramai yang mempertikaikan tindakan ahli Parlimen terbabit sedangkan Kedah ketika ini masih menjalani Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang antara lain tidak membenarkan sebarang bentuk majlis keramaian.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya sudah membuka siasatan berhubung kes itu di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2020.
“Polis sedang mengesan beberapa saksi untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
#langgar SOP #ahli Parlimen #SOP #penyakit berjangkit #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #Kedah #Ketua Polis Kedah #Kamarul Zaman Mamat
;