Ahli Parlimen dari kawasan TEMCO perlu jalani ujian saringan COVID-19 - Speaker

Umavathi Ramayah
Ogos 10, 2020 11:52 MYT
Azhar Azizan Harun berkata, perintah itu adalah selari dengan arahan KKM. - Gambar fail/BERNAMA
Ahli Parlimen yang mengunjungi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) termasuk melibatkan Kluster Sivagangga diminta untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perintah itu adalah selari dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga selain memastikan Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang akan berlangsung sehingga 27 Ogos ini berjalan lancar.
Selain ahli Parlimen katanya, tiga lagi kumpulan lain yang juga perlu menjalani ujian adalah mereka yang bergejala, mereka yang dalam pemantauan dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif.
"Saya tahu yang berhormat pulang ke kawasan masing, sesiapa di dalam kawasan yang diumumkan sebagi Temco, semi Temco dan lokal RMCO.
"Maka mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka perlu buat ujian sebelum datang semula ke dewan.
"Saya minta parti Whip semua beri penekanan terhadap semua ahli Parlimen yang berkenaan (mengunjungi kawasan terlibat)," katanya sebelum memulakan Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azhar sekali lagi mengingatkan semua ahli Parlimen untuk memakai pelitup muka sepanjang berada di Dewan Rakyat melainkan ketika berucap.
"Pelitup muka adalah diwajibkan pada setiap masa di Dewan Rakyat dan hanya dibuka sekiranya ahli yang berhormat hendak berucap dan semua ahli Parlimen perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Terdahulu, Azhar turut memaklumkan penghadang lutsinar dipasang sepenuhnya buat sementara di antara tempat duduk ahli Parlimen sekali gus membolehkan semua kembali duduk di blok utama dewan itu.
"Pemasangan ini adalah bertujuan mewujudkan jarak pemisah untuk kurangkan risiko jangkitan COVID-19.
"Sehubungan dengan itu saya berharap pemadangan pengadang lutsinar ini dapat menyelesaikan masalah berkaitan tempat duduk ahli Parlimen semua," katanya.
#COVID-19 #Dewan Rakyat #Kementerian Kesihatan #KKM #PKPD #RMCO #SOP #TEMCO
;