Ahli Parlimen BN punca pindaan Perlembagaan Persekutuan tidak dapat sokongan dua pertiga - Anwar
Bernama
April 9, 2019 00:34 MYT
April 9, 2019 00:34 MYT
Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) menjadi punca Rang Undang-undang Persekutuan (Pindaan) 2019 gagal mendapat majoriti undi dua pertiga ketika dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berkata Dewan Rakyat memerlukan 148 undi untuk melepasi majoriti dua pertiga undi, namun hanya berjaya mendapatkan 138 undi, selepas anggota Parlimen dari blok pembangkang bertindak untuk berkecuali dalam proses undian RUU berkenaan.
"UMNO dan BN dia tak bantah juga, tapi tak undi juga, dia berkecuali, dia bagi alasan dia, tak apalah, tetapi kita tengok undang-undang (itu) jelas, itu sahaja," katanya berucap pada sesi ceramah PH sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di sini, Selasa malam.
RUU berkenaan yang dibentang dan dibahaskan hampir tujuh jam pada Selasa adalah antara usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963.
Ia yang dibentang Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk bacaan kali kedua pada Selasa, bagaimanapun tidak dapat diteruskan untuk bacaan seterusnya selepas undi belah bahagi yang dijalankan mendapati seramai 138 anggota parlimen menyokong pindaan, tiada yang menolak dan 59 pula tidak mengundi.
Anwar yang juga Presiden PKR menjelaskan bahawa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkenaan adalah antara janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.
"Saya puas hati, saya bangun tadi sokong usul Tun Dr Mahathir bagi pihak PH kerana kita janji, dan kita tunaikan," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#Barisan Nasional
#Dewan Rakyat
#janji
#MA63
#Mahathir Mohamad
#Manifesto
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#Perlembagaan Persekutuan
#PKR
#PRK DUN Rantau
#PRU14
#RUU Persekutuan Pindaan 2019
#Sabah
#Sarawak
#UMNO
#undang-undang