Ahli Parlimen Bintulu positif COVID-19

Fadilah Sulaiman
Februari 20, 2022 14:46 MYT
Datuk Seri Tiong King Sing meminta sesiapa yang ada bertemu dengannya dalam masa terdekat untuk melakukan ujian saringan COVID-19 dan menjalani kuarantin kendiri. - FOTO Bernama
KUCHING: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing disahkan positif COVID-19 selepas melakukan ujian calitan RT-PCR pagi Ahad dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumah selama tujuh hari.
Justeru, Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong memaklumkan kedua-dua pusat khidmatnya terpaksa ditutup buat sementara waktu susulan terdapat kakitangan yang bertugas di Pusat Khidmat Dudong turut disahkan positif COVID-19 dan semua kakitangan kini menjalani kuarantin.
"Jika terdapat sebarang keperluan atay pertanyaan daripada rakyat Bintulu dan Dudong, mereka boleh terus menghubungi kakitangan pusat khidmat atau telefon bimbit saya.
"Dalam trempoh kuarantin ini saya akan sedaya upaya melakukan yag terbaik untuk membantu rakyat Bintulu dan Dudong dengan apa cara sekalipun.
"Saya berharap anda semua memahami situasi ini untuk tempoh sementara waktu,” katanya menerusi laman sosialnya pada Ahad.
Tiong turut menyarankan orang ramai untuk terus mengambil serius dengan situasi penularan wabak ini selain mematuhi SOP kerana kita tidak boleh jangka virus ini berada di mana dan akan menyerang siapa.
“Kepada sesiapa sahaja yang pernah bertemu dengan saya dalam masa terdekat ini, lakukan ujian saringan COVID-19 dan menjalani kuarantin kendiri.
“Saya tidak pasti bila dan di mana saya dijangkiti wabak ini. Jadi saya harap semua pihak dapat mengambil serius keadaan ini. Sebarang kesulitan amat saya kesali, dan saya juga mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua,” tambahnya.
#COVID-19 #Datuk Seri Tiong King Sing #Ahli Parlimen Bintulu #Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Dudong
;