Ahli Parlimen ASEAN gesa benarkan Parlimen bersidang bukan wakil rakyat - CENTHRA
Astro Awani
Februari 17, 2021 19:22 MYT
Februari 17, 2021 19:22 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 25 daripada 90 ahli Parlimen ASEAN yang menggesa Yang di-Pertuan Agong serta Perdana Menteri untuk membenarkan Parlimen bersidang secepat mungkin bukan lagi wakil rakyat di negara masing-masing, kata Felo Penyelidik, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Abdul Hamid Abdul Murad.
Sesungguhnya tindakan itu katanya, adalah bertentangan dengan prinsip asas ASEAN untuk tidak mencampuri urusan dalaman sesebuah negara.
"Malaysia mungkin berada dalam keadaan darurat namun segala aturan undang-undang serta prinsip semak dan imbang tidak pernah terpisah daripada keutuhan demokrasi negara.
"Darurat Malaysia masih lagi berada dalam ruang lingkup seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia diisytiharkan bagi tujuan tertentu dalam memastikan kestabilan politik semasa untuk memerangi wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, tindakan mereka itu bukan sahaja bertentangan dengan nilai teras ASEAN, sebaliknya menonjolkan diri mereka sebagai individu yang tidak berkredibiliti.
"Jelas mereka juga tidak mewakili mana-mana badan serantau yang meletakkan Malaysia di kedudukan yang dipandang tinggi," tambahnya lagi.
Beliau turut menjelaskan, proklamasi darurat dilakukan bagi mengkoordinasikan tindakan ke atas usaha mengekang pandemik COVID-19.
Maka katanya, Malaysia berhak untuk mengambil sebarang langkah dalam tadbir urus negara yang dianggap bersesuaian bagi tujuan itu.
Tambah beliau lagi, struktur darurat yang dianggotai pembangkang dan kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jelas sama sekali berbeza jika dibandingkan dengan darurat yang diumumkan pada 1969.
"Dengan mekanisme ini, semak dan imbang sistem Eksekutif kita terus terpelihara.
"Malaysia perlu bersikap lebih berhati-hati berdepan dengan politikus oportunis atau kumpulan-kumpulan yang kuat melobi bagi terus menjaga kebajikan negara dan rakyat," jelasnya lagi.
#wakil rakyat
#ASEAN
#Yang di-Pertuan Agong
#Perdana Menteri
#darurat
#COVID-19
#semak dan imbang
#politik
#campur tangan