Ahli Parlimen, ADUN Selangor akan diberi taklimat berkenaan MoU projek air
Aizat Sharif
Mac 5, 2014 18:24 MYT
Mac 5, 2014 18:24 MYT
Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor akan diberi taklimat terperinci oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkenaan memorandum persefahaman (M.O.U) projek air di negeri itu dengan kerajaan persekutuan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa taklimat tersebut akan dilakukan di Shah Alam pada petang ini dan semua ahli parlimen dan Adun dijangka akan hadir bagi mendengar penerangan yang akan disampaikan oleh Khalid.
"Ini dilakukan kerana tiadanya taklimat yang serupa dilakukan sebelum ini dan kami (Pakatan Rakyat) meminta Menteri Besar supaya lebih teliti terutama dalam kenyataannya tentang perjanjian yang bakal ditandatanganinya," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut disini sebentar tadi.
Sehubungan itu, Anwar berkata Majlis Pakatan Rakyat bersetuju untuk menghantar tiga wakilnya iaitu, Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam sidang taklimat itu.
"Mereka akan menyampaikan pandangan dari pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat kepada Tan Sri Khalid berkenaan penjelasan yang lebih terperinci tentang kesan kepada negeri Selangor, soal tarif air dan beberapa aspek perjanjian tersebut termasuk Projek Langat 2 sebelum perjanjian itu ditandatangani. Ini dilakukan kerana sekiranya ianya sudah ditandatangani, ianya sudah tiada gunanya lagi untuk diteliti,".
Wakil Pakatan Rakyat itu juga akan menggesa Menteri Besar supaya tidak tergesa-gesa.
"M.O.U yang ditandatangani pada awalnya itu terdapat juga perjanjian yang diselitkan dalam M.O.U tersebut. M.O.U adalah M.O.U persefaham manakala perjanjian adalah perjanjian dan apabila kami dapati dalam perjanjian terdapatnya perjanjian pembinaan Projek Langat 2 yang tidak boleh diubah dan ditarik balik selepas menandatanganinya, kami (Pakatan Rakyat) mendapati perlunya ada satu klarifikasi yang perlu dilihat oleh 'independent legal' ini termasuklah perkara-perkara yang melibatkan negeri, kadar tarif dan juga isu Langat 2,".