Ahli lembaga pengarah, hala tuju DNB diumum esok - Fahmi

Astro Awani
April 24, 2024 17:14 MYT
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita semasa sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Beberapa pengumuman penting berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB) akan diumumkan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada Khamis.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, pengumuman itu antaranya berhubung ahli lembaga pengarah dan hala tuju DNB itu akan dibuat di Pulau Pinang.
Fahmi turut menjelaskan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi penegasan mengenai pelaksanaan rangkaian 5G dan perkara-perkara yang dipersetujui.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) beri penegasan tentang pelaksanaan rangkaian 5G dan antara yang telah dipersetujui bahawa insya-Allah esok Gobind akan berada di Pulau Pinang untuk satu acara bersama dengan DNB.
“Beliau akan membuat beberapa pengumuman dengan pelantikan ahli lembaga pengarah dan beberapa hala tuju bagi DNB esok,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Beliau juga memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengadakan perbincangan dan memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) dalam masa terdekat.
MoU itu bagi mempercepat pelaksanaan penerimagunaan rangkaian 5G khusus bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri.
“Perdana Menteri telah memberi penegasan bahawa manfaat daripada 5G selain daripada untuk rakyat biasa, setakat 17 April lalu, lebih 35 peratus daripada keseluruhan jumlah pengguna telco yang telah memanfaatkan atau menempah pakej 5G.
“Tapi manfaat utama 5G adalah pada penerimagunaan dan pelaksanaan rangkaian tersebut bagi sektor industri dan juga PMKS,” katanya.
Mengulas lanjut, ujarnya, pengumuman tambahan mengenai pelaksanaan rangkaian 5G akan dilakukan pada minggu depan sekiranya ia berjalan lancar.
Tambahnya, pengumuman itu akan memberikan hala tuju sangat jelas termasuk berhubung dasar dwirangkaian 5G.
#Fahmi Fadzil #Gobind Singh Deo #DNB #5G #MCMC #PMKS
;