Ahli keluarga penumpang MH370 lebih bersedia untuk luahkan perasaan
Zan Azlee
Mac 9, 2014 18:26 MYT
Mac 9, 2014 18:26 MYT
Lapan belas kaunselor dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah ditempatkan di Hotel Everly di Putrajaya, tempat tinggal sementara bagi ahli keluarga penerbangan MH370.
"Kami menyediakan sokongan 24 jam untuk sesiapa sahaja di kalangan ahli keluarga yang memerlukannya," kata Timbalan Menteri, Datuk Azizah Mohd Dun.
Beliau berkata bahawa keadaan psikologi ahli-ahli keluarga adalah sangat kritikal pada ketika ini kerana ia adalah sangat sukar berurusan dengan apa-apa kehilangan secara mengejut.
Ramai ahli keluarga telah meluahkan kekecewaan kerana selepas hampir dua hari, mereka masih belum menerima maklumat kukuh tentang orang tersayang yang berada di dalam penerbangan itu.
"Pada masa ini, kita tidak akan mengurangkan bilangan kaunselor yang bertugas. Besar kemungkinan ia akan meningkat," kata Datuk Azizah.
Tambah beliau, terdapat peningkatan dalam interaksi di antara keluarga dan kaunselor.
"Semalam, mereka terlalu tertekan untuk bercakap. Hari ini, mereka lebih bersedia untuk mencari kita dan meluahkan perasaan mereka," kata Datuk Azizah.
Ahli keluarga telah diberitahu untuk membawa pasport mereka sejak semalam kerana mereka mungkin diterbangkan ke lokasi rahsia.
MH370, penerbangan perkongsian kod dengan China Southern Airlines, berlepas dari KLIA ke Beijing pada 12.41 pagi Sabtu.
Semua komunikasi dengan pesawat itu hilang pada 2.40 pagi dan tiada isyarat kecemasan atau panggilan diterima.
Penerbangan itu membawa 239 penumpang, 38 daripada mereka adalah rakyat Malaysia. Ia dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada pukul 6:30 pagi waktu tempatan.
##MH370
##PrayForMH370
#Boeing
#Boeing 777-200
#kaunselor
#Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
#Malaysia Airlines
#MAS