Ahli keluarga Allahyarham Zulfarhan tiba di mahkamah

Sinar Harian
Julai 23, 2024 09:30 MYT
Zulkarnain memakai baju T tertera tulisan #justice4farhan #sayNOtoBULLY #humanity untuk arwah anaknya, Allahyarham Zulfarhan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Selasa. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Beberapa ahli keluarga kepada Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain dilihat mula tiba di Mahkamah Rayuan di sini pada jam 8.35 pagi.
Bapa mangsa, Zulkarnain Idros, 60, juga dilihat memakai baju-T tertera tulisan #justice4farhan #sayNOtoBULLY #humanity.
Kesemua mereka kelihatan tenang sebelum memasuki bilik bicara Mahkamah Rayuan jam 8.45 pagi.
Media melaporkan keputusan rayuan 18 bekas penuntut UPNM yang menyebabkan kematian Allahyarham Zulfarhan Osman, tujuh tahun lalu akan diketahui di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa.
Keputusan itu akan diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin pada jam 9 pagi.
Seramai enam daripada 18 bekas penuntut yang disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 18 tahun merayu agar sabitan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu mencederakan tanpa niat membunuh Zulfarhan, digantikan kepada Seksyen 330 kanun sama iaitu kesalahan mencederakan dengan hukuman maksimum penjara tujuh tahun sahaja.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. - Sinar Harian
#Zulfarhan Osman Zulkarnain #Mahkamah Rayuan #UPNM #ahli keluarga
;