Ahli GISB tidak lagi amalkan Aurad Muhammadiyah - Anak Asaari
Ridauddin Daud
Oktober 14, 2024 13:59 MYT
Oktober 14, 2024 13:59 MYT
SHAH ALAM: Ahli Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd tidak lagi mengikuti Aurad Muhammadiyah atau amalan dalam Al-Arqam yang diisytiharkan sesat sebelum ini.
Ringkasan AI
- Ahli GISB Holdings Sdn Bhd tidak lagi mengamalkan Aurad Muhammadiyah atau amalan Al-Arqam yang diisytiharkan sesat.
- Menurut Khaulah Asaari, mereka telah menghadiri kursus selama 500 jam dengan pihak berkuasa dan berkomitmen untuk tidak mengulangi amalan tersebut.
- Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, juga mengingatkan ahli untuk fokus kepada aktiviti perniagaan.
- Video lama yang menunjukkan ahli GISB mengagungkan Asaari Muhammad adalah dari tahun 2011 dan ditularkan semula.
Pengarah salah sebuah anak syarikat GISB, Khaulah Asaari menegaskan, ahli juga tidak mengamalkan sebarang perbuatan yang disifatkan sebagai sesat dan salah.
Bahkan, kata anak kepada pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad itu, ahli GISB juga sudah menghadiri kursus selama 500 jam dengan pihak penguasa.
Tegasnya, ahli juga memberikan komitmen untuk tidak lagi mengamalkan sebarang amalan yang dilakukan sebelum ini, pada zaman Al-Arqam, juga selepas daripada itu.
“(Aurad Muhammadiyah juga tidak lagi diamalkan?) Tidak lagi diamalkan. Secara dasar, memang kami pun selalu bincang perkara ini.
“Kami pun selama ini dipantau pihak berkuasa, termasuk Jabatan Agama Islam sendiri. Kami juga sudah ikut proses Istitabah (dikendalikan di Jabatan Mufti Selangor).
“Kami telah berikan komitmen untuk tidak mengamalkan apa-apa yang dilakukan sebelum ini, mungkin pada zaman Al-Arqam dan juga setelah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkaitan GISB di Shah Alam pada Isnin yang turut dihadiri peguam kepada kumpulan tersebut.
Katanya lagi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB, Datuk Nasiruddin Mohd Ali sentiasa mengingatkan semua ahli untuk fokus kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan.
Dalam pada itu, mengulas video yang tular menunjukkan ahli GISB mengagungkan Asaari atau Abuya, dia menegaskan ia adalah video lama yang ditularkan semula di media sosial.
“Itu sudah lama. Sekitar tahun 2011 video itu sudah berlaku,” ujarnya.
Dalam sidang media sama, Khaulah enggan memberi ulasan dakwaan berhubung berlakunya pengeksploitasian kanak-kanak dalam kumpulan berkenaan.
Menurut beliau, ini kerana kes tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa.