Ahli akademik disaran bertanggungjawab atas pandangan yang diutarakan

Astro Awani
Januari 18, 2025 17:50 MYT
Menurut Prof. Izani, tanggungjawab itu perlu dipikul kerana sesebuah pendapat mencerminkan tahap intelektual seseorang ahli akademik.
KUALA LUMPUR: Ahli akademik di universiti tempatan perlu lebih bertanggungjawab apabila mengutarakan sebarang pendapat.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, meskipun kerajaan memberi jaminan untuk mempertahankan hak bersuara golongan itu, sebarang kenyataan perlu berasaskan fakta dan berlandaskan disiplin ilmu masing-masing.
"Kita mahu ahli akademik bercakap atas fakta, atas bidang kepakaran masing-masing.
"Jadi tak bolehlah bercakap di luar bidang kepakaran kerana itu juga akan mencerminkan tahap intelektual seseorang ahli akademik.
"Seperti kita juga, bila kita bersuara, kita mesti bertanggungjawab atas apa yang kita utarakan," katanya dalam program AWANI Pagi pada Sabtu.
Ujar beliau, pendapat daripada golongan tersebut juga diperlukan oleh negara dalam proses pembangunan sosioekonomi.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan akan mempertahankan hak kebebasan bersuara para akademia universiti.
Tegasnya, beliau tidak mahu sebarang tindakan diambil pihak universiti termasuk Akta 605 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj).
Menurutnya, ini kerana langkah itu akan mengekang golongan itu daripada memberi pandangan dan melontarkan idea.
#umt #KPT #Kementerian Pendidikan Tinggi #Zambry Abd Kadir
;