Ah long salah rumah simbah cat
Sinar Harian
Julai 20, 2022 05:45 MYT
Julai 20, 2022 05:45 MYT
PORT DICKSON: Seorang wanita kecewa apabila rumahnya menjadi mangsa simbahan cat berwarna merah disyaki dilakukan ah long yang tersalah rumah di Rumah Rakyat Kuala Lukut disini.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul Aisyah, 39, berkata, kejadian itu disedarinya pada jam 7 pagi Rabu ketika mahu ke tempat kerja.
"Sebaik membuka pintu, saya terkejut melihat kawasan depan rumah dipenuhi cat merah dan dipercayai dilakukan ah long yang mendakwa saya tidak membayar wang yang dipinjam daripada mereka.
"Saya tidak pernah meminjam wang daripada sesiapa termasuklah ah long dan percaya mereka salah rumah menyebabkan saya trauma dengan kejadian ini," katanya.
Justeru dia mahu ah long terlibat bertanggungjawab dengan membayar kos baik pulih kerosakan yang dilakukan mereka.
"Kawasan perumahan di sini banyak yang nombor rumah sama tetapi berbeza nombor jalan, mungkin mereka salah rumah.
"Laporan polis sudah dibuat namun saya berharap mereka bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan ini kerana ini rumah saya sendiri," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, pihaknya kesal dengan kejadian tersebut kerana menyusahkan orang yang tidak bersalah.
"Ah long jangan sampai bertindak menyalahi undang-undang dan membelakangkan pihak polis.
"Saya harap sebarang tuntutan hutang perlu dibuat mengikut undang-undang sedia ada," katanya yang turut turun padang melawat rumah mangsa.
Tambah beliau, ah long tersebut perlu menanggung segala kerosakan yang dilakukan kepada mangsa memandangkan mangsa tidak pernah membuat pinjaman.
"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam dan ketidakselesaan penduduk yang pastinya trauma," katanya. -Sinar Harian