Agropreneur muda digalak bergerak secara berkumpulan - Grasicili

Faida Rahim
Julai 17, 2023 16:23 MYT
Pengasas Grasicili, Munir Asim Abdullah memaklumkan, bekerja dalam kumpulan dapat mengurangkan lebih banyak kos operasi seterusnya menjana keuntungan.
KUALA LUMPUR: Anak muda yang berminat menyertai sektor pertanian sama ada sebagai pengeluar atau usahawan digalakkan untuk bergerak secara berkumpulan.
Pengasas Grasicili, Munir Asim Abdullah memaklumkan bekerja dalam kumpulan dapat mengurangkan lebih banyak kos operasi seterusnya menjana keuntungan.
"Apa yang kami lakukan ini kita kena bawa mereka ini, setiap usahawan kena ada mentor atau penggerak untuk mereka memahami bagaimana mengurangkan dari segi (kos) input tersebut.
"Jadi kalau mereka bekerjasama antara satu sama lain, mereka boleh pergi lebih jauh. Contohnya dia nak gerakkan satu tanaman, contohnya apa-apa tanaman cili atau terung, kena ada satu elemen di mana mereka kena bersama untuk menanam.
“Kos input akan menjadi lebih rendah, daripada proses membeli baja, guni dan sebagainya. Mereka boleh beli 10 tan terus, 20 tan dan sebagainya," katanya dalam program Pantau Belanjawan 2023 pada Isnin.
Sementara itu, beliau menjangkakan jualan Agro Madani inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di 5,000 lokasi bakal membuka peluang kepada negara untuk tidak lagi bergantung kepada bekalan makanan import.
Beliau juga berharap program berkenaan akan memberi impak besar dalam masa dua ke tiga tahun akan datang kepada pemain industri pertanian.
"Begitu juga bantuan yang diberikan Kerajaan, jika bergerak seorang dan mahu minta bantuan juga agak lambat sikit. Jika gerak ramai, lebih cepat.
"Termasuk bila berlakunya bencana di lokasi tanaman yang memerlukan baik pulih ladang, kita boleh merancang bersama bagaimana nak bergerak secara kumpulan. Elemen ini amat penting, bukan setakat fahami trend, kita juga kena fahami siapa rakan pengusaha kita. Perancangan juga kena jitu untuk bergerak ke hadapan," katanya lagi.
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #agropreneur muda #petani #Grasicili
;