Agropreneur Fertigasi Cili: MAIWP jalin kerjasama strategik ubah status asnaf

Madiha Abdullah
Oktober 21, 2023 17:45 MYT
Mohd Na'im melawat tapak Urban Farming MAIWP Fertigasi Cili, pada Sabtu.
BATU CAVES: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan terus menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak berkepakaran dalam usaha membantu asnaf mengubah status sosioekonomi mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ini susulan kejayaan program pembangunan usahawan asnaf MAIWP melalui Agropreneur Fertigasi Cili bersama syarikat GrasiCili sejak November 2021.
Menerusi program itu, 10 peserta diberi latihan teori dan praktikal selama dua tahun, dengan elaun bulanan sebanyak RM1,700 bagi setiap peserta.
"MAIWP mahu memperbanyak dan meramaikan lagi rakan strategik, jadi sebagai contoh untuk penanaman cili kita buat kerjasama dengan GrasiCili, cendawan dan terung juga ada kerjasama.
"Kita mahu jalin kerjasama dengan rakan strategik lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut supaya dengan cara itu kita dapat meluaskan lagi hubungan dan jangkauan," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak Urban Farming MAIWP Fertigasi Cili, pada Sabtu.
Program Agropreneur Fertigasi Cili di atas tanah seluas lima ekar milik MAIWP itu telah menuai hasil pertama pada Februari lalu, dengan keuntungan bersih kira-kira RM20,000.
Semaian kali kedua dijalankan pada Jun lalu dan dijangka akan boleh dituai dalam tempoh dua bulan lagi.
MAIWP juga sudah memulakan kerjasama strategik dengan AgroBank di bawah program Hijrah Asnaf di mana peserta akan menerima kenaikan elaun ke RM2,700.
Tambah Mohd Na'im lagi, usaha ini juga bersifat serampang dua mata di mana ia juga merupakan sebahagian projek untuk mengukuhkan sumber bekalan makanan tempatan, selain merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
#Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan #MAIWP #Mohd Na'im Mokhtar #asnaf
;