#AgongKita: Titah Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17
Bernama
Julai 20, 2024 16:50 MYT
Julai 20, 2024 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Ibrahim hari ini selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam suasana penuh istiadat gilang-gemilang di Istana Negara.
Berikut adalah titah diraja Seri Paduka Baginda sempena istiadat pertabalan hari ini:
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Bismillahirahmanirrahim.
Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam, kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-muliaRasul serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat berhimpun di dalam istiadat pertabalan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada hari bersejarah ini.
Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang telah memberikan kepercayaan dan penghormatan kepada saya untuk memikul amanah dan tugas sebagai ketua negara.
Insya-Allah, saya akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan jujur dan ikhlas, dan memerintah dengan adil dan saksama serta penuh timbang rasa kepada semua rakyat jelata demi menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara.
Terima kasih juga saya ucapkan kepada memanda Perdana Menteri di atas ucapan yang dizahirkan sebentar tadi. Saya berharap, kerajaan akan terus berusaha untuk meringankan beban hidup rakyat dan membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur.
Bersempena istiadat yang bersejarah ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas keberangkatan Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
To Your Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa, the King of Kingdom of Bahrain may I thank you for Your Majesty's presence here today, which signifies the close relationship we share.
Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada semua Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil Baginda yang sudi berangkat di dalam majlis ini.
Saya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir di sini dan juga yang mengutuskan ucapan tahniah, serta iringan doa sempena pertabalan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong pada hari ini.
Saya juga mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan istiadat pada hari ini, dan semua majlis yang dianjurkan.
Akhir kata, marilah kita berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga negara Malaysia akan terus maju dan makmur, serta seluruh rakyatnya kekal hidup bersatu-padu, aman sentosa dan bahagia.
Sekian. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
-- BERNAMA