#AgongKita: Rakyat Johor berbilang bangsa teruja saksi pertabalan Sultan Ibrahim

Bernama
Julai 20, 2024 14:40 MYT
Ng Siew Peng (duduk kiri), A.Sogatharan, (duduk kanan), Rozilah Rosmadi (kiri belakang), Rusmaliza Awang (dua kiri belakang) dan Nurizzah Abdullah menonton siaran langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke ke-17 hari ini. - Bernama
JOHOR BAHRU: Rakyat Johor berbilang bangsa dan agama di bandar raya ini teruja menyaksikan detik bersejarah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang disiarkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur menerusi wayang pacak di sini.
Seawal 8 pagi, kira-kira 50 individu dewasa dan kanak-kanak berkumpul di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Cempaka di sini bagi menyaksikan tayangan wayang pacak istiadat itu yang dianjurkan Jabatan Penerangan Johor.
Turut hadir Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat.
Pesara kerajaan, A Soaganathan, 69, menyifatkan momen itu sangat istimewa apabila Sultan Ibrahim kini bersemayam di takhta sebagai Ketua Negara yang menaungi Malaysia.
"Saya amat berbangga apabila Sultan Johor ditabalkan menjadi Agong. Sebagai rakyat Malaysia, saya yakin Seri Paduka Baginda mampu membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi, makmur dan sejahtera," katanya kepada pemberita hari ini.
Thomas Yong Kim Sing, 58, berkata dia berbangga kerana sekali lagi dapat menyaksikan detik istimewa itu seperti yang disaksikan 40 tahun lepas ketika Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail ditabal selaku Yang di-Pertuan Agong kelapan.
"Pada 1984, saya ketika itu masih remaja dan hari ini sejarah berulang apabila Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, sama seperti ayahanda Seri Paduka Baginda. Saya yakin Sultan Ibrahim akan pimpin Malaysia dengan baik," kata pekerja swasta itu.
Seorang murid Sekolah Kebangsaan Taman Cempaka, Muhammad Qayyum Abdullah, 11, pula berkata dia bangun seawal 6 pagi untuk mengajak rakan-rakannya menyaksikan tayangan istiadat itu.
"... ini kali pertama saya saksikan peristiwa seperti ini. Rasa bangga jadi rakyat Johor. Saya dan kawan-kawan dapat ilmu baharu tentang institusi raja di negara ini," katanya.
Dalam pada itu, Suhaizan berkata Sultan Ibrahim diyakini dapat memacu negara ke tahap lebih tinggi, seperti yang telah Seri Paduka Baginda lakukan di Johor sebelum ini.
"Sebagai rakyat negara ini, kita harap kemakmuran, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan hidup rakyat dapat ditingkatkan," katanya.
-- BERNAMA
#Agong Kita #istiadat pertabalan #Yang di-Pertuan Agong #rakyat johor
;