#AgongKita: Raja-Raja Melayu berangkat tiba ke Istiadat Pertabalan

Bernama
Julai 20, 2024 01:40 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat tiba bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, hari ini. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Raja-raja Melayu berangkat tiba di Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula pada 8:50 pagi.
Berangkat tiba di Anjung Utama Istana Negara ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Berangkat sama Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Arif.
Turut berangkat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Berangkat sama Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Keberangkatan tiba kesemua kerabat diraja dan Yang Dipertua Negeri bermula 8.50 pagi itu disambut Menteri Komunikasi selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Fahmi Fadzil dan isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.
Baginda Raja-Raja, Pemangku Sultan, Pemangku Raja dan Tengku Mahkota kemudian berangkat ke Dewan Seri Maharaja disertai empat Yang Dipertua Negeri bagi meneruskan Istiadat Pertabalan.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.
#Sultan Ibrahim #Istana Negara #Yang di-Pertuan Agong #Pertabalan