#AgongKita: PM Anwar ikrar taat setia kepada Institusi Diraja

Astro Awani
Julai 20, 2024 00:15 MYT
Sesi raptai sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, 19 Julai 2024. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
"Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Duli Tuanku serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara.
"Ini seiring fungsi Institusi Diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.
"Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Institusi Raja Berperlembagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang akan berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat Raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini, melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi negara Malaysia.
Berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, istiadat pertabalan itu ialah pemasyhuran kepada seluruh dunia bahawa Sultan Ibrahim telah bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.

Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Duli Tuanku serta terus berada pada pic.twitter.com/RO9owMFyB3

— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) July 20, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Istiadat penuh gilang-gemilang itu pastinya dinantikan oleh 34 juta rakyat Malaysia, selain menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa, sekali gus mempamerkan keunikan dan keutuhan warisan sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.
Istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah itu juga menyempurnakan peruntukan Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, selain bukti kesinambungan pemerintahan raja Melayu dengan sistem pelantikan Yang di-Pertuan Agong secara bergilir yang hanya diamalkan di Malaysia.
#Yang di-Pertuan Agong #Istana Negara #Perlembagaan Persekutuan #Pertabalan