#AgongKita: PM Anwar, Hsien Loong tiba di Istana Negara

Bernama
Julai 20, 2024 01:00 MYT
Anwar disambut Fahmi sejurus tiba di pekarangan Istana Negara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim hari ini.
Beliau tiba bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Anjung Utama Istana Negara pada 8.45 pagi.
Turut hadir Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri negara itu Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching.
Pada Khamis, Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan Lee antara kumpulan pemimpin asing terpilih yang diundang oleh Sultan Ibrahim untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda.
Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir turut hadir bersama kira-kira 700 tetamu yang lain.
Ketibaan tetamu kehormat itu disambut Menteri Komunikasi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Fahmi Fadzil dan isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Yang di-Pertuan Agong #Pertabalan #Sultan Ibrahim