#AgongKita: Pertabalan Sultan Ibrahim hampir lengkapkan pusingan kedua penggiliran Yang di-Pertuan Agong

Bernama
Julai 20, 2024 13:20 MYT
Sultan Ibrahim yang akan bersemayam untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini ialah yang kedua terakhir, sebelum disusuli dengan pelantikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. -Bernama
KUALA LUMPUR: Sistem Raja Berperlembagaan dengan amalan penggiliran sembilan Raja Melayu menaiki takhta yang diamalkan Malaysia sejak 1957, menempa satu lagi sejarah gemilang hari ini usai sempurnanya Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata istiadat pertabalan yang berlangsung di Istana Negara menonjolkan keunikan Malaysia sebagai satu-satunya negara di dunia dengan amalan sistem berkenaan, selain menandakan pusingan kedua penggiliran jawatan Ketua Utama Negara yang melibatkan sembilan negeri beraja hampir lengkap.
Azuan Effendy berkata mengikut turutan penggiliran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang akan bersemayam untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini ialah yang kedua terakhir, sebelum disusuli dengan pelantikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sekiranya baginda dipilih oleh Majlis Raja-Raja.
"Selepas itu (selepas Sultan Nazrin), pusingan ketiga penggiliran bermula, dalam pusingan pertama ada tiga kali penolakan untuk dilantik menjadi Agong, namun pada pusingan kedua ini ia amat istimewa kerana menuruti sahaja penggiliran yang sudah mantap pada pusingan pertama tanpa sebarang pindaan dan perubahan.
"Inilah kehebatan, persefahaman antara Duli Tuanku Raja-Raja, baginda boleh sahaja ubah sejarah dan penggiliran kerana ia satu persefahaman yang perlu dimuktamadkan dalam Majlis Raja-Raja, tetapi masih dikekalkan mengikut pusingan pertama, tidak diubah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azuan Effendy berkata sejarah awal pemilihan Yang di-Pertuan Agong sebagai payung kedaulatan negara adalah berdasarkan status kekananan Raja-Raja, namun selepas penggiliran pertama disempurnakan sembilan Raja-Raja Melayu, turutan itu kemudiannya diikuti hingga kini.
Mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Pada 1994, penggiliran berkenaan mula memasuki pusingan kedua apabila bekas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-10.
Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pelantikan Yang di-Pertuan Agong seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.
Selain itu, baginda yang dilantik merupakan raja yang berada pada kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain serta bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.
Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan bertanya kepada raja seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sembilan raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.
Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan Seri Paduka Baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.
Ketika ini, Sultan Nazrin merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong iaitu jawatan yang disandang sejak pemerintahan Sultan Muhammad V diikuti Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Raja-raja Melayu #Sultan Nazrin Shah
;