#AgongKita: Pergolakan politik detik pilu, merugikan negara - Al-Sultan Abdullah

Harits Asyraf Hasnan
Januari 29, 2024 14:00 MYT
Al-Sultan Abdullah menyifatkan keadaan politik yang tidak tenteram merupakan keadaan yang menyedihkan kerana ia menyebabkan negara dan rakyat berada dalam keadaan merugikan. -Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pergolakan politik merupakan situasi yang amat menyedihkan bagi Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sepanjang lima tahun pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Titah baginda, pergolakan politik tanah air itu telah menyebabkan rakyat menanggung pelbagai kerugian.
“Keadaan politik tidak tenteram juga saya anggap itu satu keadaan yang sedih kerana apabila kerajaan tubuh pada 2019, kita mengharapkan negara dapat meneruskan pentadbiran sebaik mungkin, tetapi sebaliknya berlaku.
“Pada masa sama, pertukaran kerajaan ini bukanlah perkara yang mudah dan bukan harus dipraktik sewenang-wenangnya kerana ia merugikan kita, negara dan rakyat. Ia juga merugikan masa dan kewangan dan pelbagai lagi.
“Saya bukan nak menidakkan mana-mana pihak politik, tetapi pengalaman menukar kerajaan itu satu proses yang cukup merugikan negara,” titah baginda.
Namun, di sebalik rasa sedih, Yang di-Pertuan Agong Ke-16 itu turut bersyukur kerana diberi peluang memerintah dengan sepenuh jiwa dan hati baginda, disulami sokongan pelbagai lapisan rakyat.
“(Pengalaman) manis itu banyak antaranya yang terkini Kembara Kenali Borneo, sebelum itu juga saya selalu jumpa rakyat, bantu rakyat, apabila kemalangan dalam perjalanan saya.
“Saya juga mendekati, menyantuni rakyat di gerai-gerai makan dan di restoran, juga berswafoto bersama mereka selain bergurau senda.
“Saya anggap ini adalah kenangan manis kerana apabila saya dapat menyantuni rakyat ia memberi semangat kepada saya,” ujar baginda.
Al-Sultan Abdullah berkongsi pengalaman pemerintahannya itu dalam wawancara bersama beberapa media tempatan dan antarabangsa di Istana Negara, baru-baru ini.

Ikuti wawancara 'Lambaian Mahkota' yang akan disiarkan pada 30 Januari, Selasa bermula jam 8.30 malam di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.
Siaran ulangan 'Lambaian Mahkota' akan disiarkan pada 1 Februari, Khamis bermula 6 pagi di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah #Agong Kita #Pergolakan politik detik pilu
;