#AgongKita: Pelancong asing kagum saksi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17
Bernama
Julai 20, 2024 14:40 MYT
Julai 20, 2024 14:40 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak hanya rakyat di negara ini, pelancong asing turut kagum menyaksikan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara yang berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.
Tinjauan Bernama di Pintu Utama Istana Negara hari ini mendapati ada antara mereka yang membuat persediaan awal dan merancang mengunjungi Malaysia semata-mata untuk menyaksikan istiadat yang berlangsung lima tahun sekali itu.
Pelancong dari China Mary Shi, 30, berkata dia mengetahui tentang istiadat pertabalan itu daripada pemandu pelancongnya.
"Saya dan rakan-rakan diberitahu bahawa terdapat beberapa jalan di sekitar ibu negara ditutup bagi kelancaran istiadat ini, namun kami bernasib baik dapat menyaksikan istiadat ini," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan ketibaan kenderaan yang membawa masuk tetamu kenamaan di Pintu Utama Istana Negara bermula 8.40 pagi tadi.
Rakannya Eagle Xu, 29, berkata menyaksikan istiadat itu membuatkan dia lebih menjiwai keakraban dua negara lebih-lebih lagi tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
"Saya pertama kali berada di sini (pekarangan Istana Negara), sangat elegan... saya harap satu hari nanti anda juga dapat kunjungi Beijing dan melawat Muzium Istana," katanya.
Pelancong India Ratmachandra Patgar, 63, pula terpaku melihat keberangkatan tiba tetamu kehormat termasuk Raja-Raja Melayu.
"Kami mendoakan Seri Paduka Baginda bersemayam dengan penuh kedaulatan. Kami sangat teruja melihat istiadat ini," katanya yang ditemani isteri.
Istiadat pertabalan dihadiri 700 tetamu antaranya Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan komuniti diplomatik asing serta pemimpin-pemimpin utama negara itu turut disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen negara termasuk Bernama TV.
Sultan Ibrahim yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.
Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan 2024.
-- BERNAMA