#AgongKita: Pegawai Pembawa Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong jalani proses pemilihan ketat

Bernama
Julai 20, 2024 02:30 MYT
Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan pada Istiadat Pertabalan Agong di Istana Negara hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) hanya boleh dibawa oleh Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kategori sabaltan iaitu berpangkat Leftenan Muda hingga Kapten.
Panglima Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 Bgd) Brig Jen Muhammad Fauzi Abu Bakar berkata untuk membawa dua panji-panji berkenaan pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini, pegawai terlibat perlu mematuhi profil istiadat seperti yang telah ditetapkan.
Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Kem Perdana Sungai Besi baru-baru ini, Muhammad Fauzi berkata kedua-dua panji-panji itu masing-masing seberat kira-kira lima kilogram.
"Proses pemilihan (pegawai untuk membawa panji-panji) adalah melalui proses yang ketat iaitu perlu menjalani latihan sehingga pegawai berkenaan mampu melaksanakan kawad dengan sempurna dan mencapai standard ditetapkan.
"Pegawai yang terpilih juga mestilah mematuhi profil istiadat yang ditetapkan iaitu berketinggian antara 174 sentimeter (cm) hingga 176 cm dan mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) di bawah 26.9 serta mempunyai susuk tubuh yang tegap dan sihat," katanya.
Pegawai Pembawa Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong pada istiadat pertabalan hari ini, Lt Muhammad Ariff Mohamad Sholeh, 28, berkata persediaan fizikal dan mental diperlukan bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan menyifatkan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai satu penghormatan.
"Saya akan pastikan fizikal berada dalam keadaan baik seperti kerap bersenam untuk mengekalkan kecerdasan badan selain perlu memastikan pengambilan makanan yang cukup dan sihat.
"Tipu jika saya tidak gementar bagaimanapun saya amat berbangga kerana terpilih bagi istiadat kali ini. Saya akui Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong berat tetapi amanah yang diberikan untuk menjaga nama baik pasukan lebih berat," katanya yang mula berkhidmat dalam ATM pada 2021.
Memiliki ketinggian 175 cm, anak keempat daripada enam adik beradik dari Jitra, Kedah itu berkata beliau sebelum ini telah beberapa kali terlibat membawa Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong, bagaimanapun untuk istiadat pertabalan ia adalah kali pertama.
Pada istiadat pertabalan kali ini, Panji-Panji Rejimen Batalion 1 RAMD dibawa oleh Lt M Muhammad Yusof Hafize Ab Rahman, 24, yang berasal dari Negeri Sembilan.
PERTABALAN-ATM (PANJI-PANJI) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sementara itu, individu yang bertanggungjawab bagi menjaga Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen 1 RAMD, Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Istiadat 1 RAMD Pegawai Waran I Mohd Nor Jeffuzan Nordin berkata panji-panji mempunyai kaedah penyimpanan yang istimewa bagi memastikan kehormatannya terpelihara dan tidak rosak.
Beliau berkongsi bahawa sehari sebelum hari istiadat, Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong akan dipasang pada tiang dan disimpan dalam almari khas sebelum dibawa ke Istana Negara.
"Untuk mengambil dan memulangkan panji-panji berkenaan, terdapat istiadat yang perlu dilaksanakan dengan kehadiran seorang SMR, dua pegawai dan dua anggota tentera," katanya.
Mohd Nor Jeffuzan berkata Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong yang dibawa berarak pada istiadat pertabalan hari ini telah berusia 20 tahun dan telah ditauliahkan pada 2004.
Terdapat lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong dengan tiga daripadanya dianugerahkan kepada Tentera Darat Malaysia dan disimpan di Batalion Pertama RAMD (1 RAMD), Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) dan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD).
Sementara itu, dua lagi dianugerahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
-- BERNAMA
#Pegawai Pembawa Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong #Yang di-Pertuan Agong #Pertabalan #panji-panji