#AgongKita: Menteri Besar, Ketua Menteri sembah tahniah sempena Istiadat Pertabalan
Bernama
Julai 20, 2024 11:15 MYT
Julai 20, 2024 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri merafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersempena dengan Istiadat Pertabalan yang berlangsung hari ini.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang merafak sembah tahniah menerusi ucapan dimuat naik dalam akaun Facebook turut mendoakan agar Malaysia terus berkembang di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
"Semoga pemerintahan Tuanku akan sentiasa diiringi keberkatan dan maghfirah-Nya serta mudah-mudahan Malaysia akan terus berkembang maju dan makmur. Insya-Allah," katanya.
Turut merafak sembah tahniah ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang mendoakan semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli juga tidak ketinggalan merafak sembah tahniah menerusi hantaran dalam akaun media sosial rasmi mereka.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada hantaran merafak sembahnya mendoakan negara terus berkembang maju dan makmur serta rakyat bersatu padu dalam keharmonian di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.
"Patik dan seluruh rakyat Kelantan mendoakan agar Tuanku sentiasa diberkati dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kebijaksanaan dalam memimpin negara. Semoga pemerintahan Tuanku terus membawa kepada kesejahteraan dan kemajuan," katanya.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara hari ini, dan dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.
-- BERNAMA