#AgongKita: Lontong, teh tarik ais Midway R&R Dusun Panti santapan pagi kegemaran Sultan Ibrahim
Siti Nur Aqilla Omar
Julai 18, 2024 19:08 MYT
Julai 18, 2024 19:08 MYT
KOTA TINGGI: Keprihatinan dan keramahan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap rakyat Johor, tidak hanya dapat diukur menerusi program Kembara Mahkota Johor (KMJ).
Namun, sentuhan keperibadian Baginda terhadap rakyatnya dapat dirasakan dengan kehadiran Baginda mencemar duli di segenap negeri Johor.
Salah satu lokasi, yang sentiasa menjadi singgahan baginda adalah kawasan Midway Rawat dan Rehat (R&R) Dusun Panti yang terletak di Jalan Jemaluang, Mersing - Kota Tinggi.
Menurut Pengurus Midway R&R Dusun Panti, Norfaezah Md Borhan, 37, kedai makannya yang terletak di pertengahan jalan yang menjadi penghubung utama dari Kota Tinggi ke Mersing itu, menjadi persinggahan Baginda ketika dalam perjalanan ke Istana Flintstones yang terletak di Mersing.
Katanya, kali pertama Baginda mencemar duli singgah ke R&R ini adalah pada November 2020.
"Ketika itu dalam jam 11.30 pagi, pada waktu itu baharu dibenarkan 'dine-in' di kedai makan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Baginda memesan lontong dan teh tarik serta beberapa jenis kuih yang ada.
"Lima hari kemudian, Baginda datang semula. Tetapi kali kedua datang, pengiring telah memaklumkan lebih awal dan kita sentiasa bersedia dengan keberangkatan baginda untuk santapan pagi.
"Sultan Ibrahim selalu tiba awal, sebelum jam 8 pagi. Menu yang sentiasa dipesan baginda adalah sama iaitu lontong dan teh tarik ais," katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.
Menurut Norfaezah, keberangkatan Sultan Ibrahim banyak membantu kawasan itu untuk terus beroperasi setelah terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP.
Katanya, Baginda peramah dan mesra dengan rakyat, bertanya khabar bukan sahaja kepada peniaga malah kepada pelanggan.
"Tuanku peramah, berbual macam biasa walaupun kita rakyat biasa, Baginda tanya sihat ke tidak? Macam mana berniaga, ok ke tidak?. Selepas masa Tuanku datang baharu lepas musim COVID-19 jadi memang Baginda bertanya dan ambil berat.
"Sehingga sekarang, jika Baginda berangkat mencemar duli singgah di sini, pasti juga akan bertanya buah markisa. Ada markisa? Kalau ada kita akan persembahkan, kalau tiada kita akan cakap tiada.
"Saya pernah dapat jemputan datang ke Istana Flintstones untuk hantar buah markisa kepada tuanku. Itu kali pertama saya dapat masuk ke istana, sangat rasa bertuah.
"Seronok (dapat masuk istana) sebab orang lain tidak semua dapat. Rasa diri ini bertuah, memang bertuah sebab kedai ini sudah lama suram, saya cakap dengan suami kita buat perlahan-lahan(untuk memperkenalkan kedai makan). Saya cakap tak payah viral ke, kita biasa-biasa saja.
"Saya tak sangka sejak Tuanku berkenan singgah santap pagi di sini, baginda up kat media sosial rasmi dan terus saya tak payah promosi orang datang ramai, saya tak sangka sambutan itu sampai sekarang," katanya yang berasal dari Felcra Sungai Ara di sini.
Menurut Norfaezah, pengalaman setiap kali Baginda berkenan untuk mencemar duli singgah di kedai makannya, adalah detik yang tidak akan luput dalam ingatan.
Malah katanya nama 'Midway R&R Dusun Panti diberikan Baginda Sultan Ibrahim berikutan kedudukan kedai itu yang betul-betul terletak di pertengahan jalan.
"Nama Lontong Mahkota saya yang letak, tetapi Tuanku bagi nama untuk kedai saya Midway RnR Dusun Panti, nama asal kedai ini R&R Dusun Panti sahaja. Midway tu tidak ada, midway nama yang diperkenan Tuanku.
"Baginda bertitah, mahu memberi nama kedai ini jika saya mahu, Midway RnR Dusun Panti. Baginda menerangkan sendiri kenapa midway, (sebab midway itu) Baginda mendapat ilham semasa Tunku Mahkota Johor (kini Pemangku Sultan), Tunku Mahkota Ismail berada di India,
"Baginda bertitah sepanjang jalan semasa di India, Tuanku lihat ada satu kedai di sana macam kedai saya, di tengah-tengah pertengahan jalan atau midway.
"Selepas Baginda Sultan Ibrahim bertitah demikian, kira tukar nama selepas minta izin dari Pejabat Daerah," tambahnya.