#AgongKita: Kerajaan, rakyat harungi gelora ekonomi dunia di bawah naungan Agong - Anwar
Afiezy Azaman
Julai 20, 2024 11:42 MYT
Julai 20, 2024 11:42 MYT
KUALA LUMPUR: Di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, Kerajaan dan rakyat akan mengharungi liku gelora ekonomi dunia melalui prakarsa atau inisiatif baharu yang mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah-langkah tegas seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI telah mencetus kadar yang memberangsangkan dengan tercatatnya 5.8 peratus pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua tahun ini.
"Momentum segar ini diperkukuh dengan angka nilai perdagangan bernilai RM1.396 trilion, sementara nilai pelaburan baharu yang diluluskan adalah sebanyak RM83.7 bilion untuk suku pertama tahun ini, yakni 13 peratus lebih tinggi ketimbang RM74.1 bilion pada tahun lalu.
"Arakian (maka), ikhtiar diteruskan dengan pendekatan yang menekankan reformasi pendidikan dan kesihatan melalui peningkatan tahap dan kualiti prasarana, aspek penguasaan bahasa Inggeris serta penerokaan bidang-bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), transformasi digital dan transisi tenaga," katanya.
Anwar berkata demikian semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini.
Selain itu, Anwar berkata, berkat kerjasama semua agensi dan jabatan jabatan Kerajaan, usaha menoktahkan kemiskinan tegar akan terjelma pada akhir bulan ini.
"Ini di samping Kerajaan terus akan memberikan penekanan kepada isu perumahan rakyat dan permasalahan kos sara hidup.
"Dalam usaha mewujudkan reformasi dan transformasi dewasa ini, Kerajaan akan terus konsisten dalam menekankan nilai-nilai murni, pemantapan akhlak dan pengukuhan jati diri bangsa.
"Tumpuan juga diberikan kepada aspek meningkatkan kecintaan dan kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara," ujarnya.