#AgongKita: Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong tumpuan Astro AWANI hari ini

Norizan Sharif
Julai 20, 2024 08:09 MYT
Ikuti Buletin AWANI Khas bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula 8 pagi bersama penyampai Harits Asyraf Hasnan dan Irfan Faruqi. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Singgahsana Istana Negara hari ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Sultan Ibrahim yang melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas, akan ditabalkan dalam istiadat penuh tradisi kesultanan Melayu hari ini.
Ikuti Buletin AWANI Khas bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula 8 pagi bersama penyampai Harits Asyraf Hasnan dan Irfan Faruqi.
Bersama-sama di lapangan termasuk wartawan penyiaran, Nursyazwani Saiful Sham di Astro AWANI dan Nur Aqilah di Johor Bahru.
Kupasan mendalam bersama Professor Madya Datuk Wan Ahamd Fauzi Hashim @ Wan Husain dari Institut Pemikiran & Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Profesor Mohd Samsudin, Pengarah Institut Kajian Tuah, Universiti Islam Melaka dan Profesor Datuk Sivamurugan Pandan, Profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Hari ini, pastinya rakyat teruja untuk menyaksikan kemeriahan istiadat tersebut memandangkan ia hanya diadakan setiap lima tahun di Istana Negara.
Ini kerana perlantikan Yang di-Pertuan Agong diadakan secara bergilir-gilir melibatkan raja-raja di sembilan negeri Melayu seiring dengan sistem Raja Berperlembagaan.
Peristiwa bersejarah hari ini menyaksikan penglibatan 377 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada cabang darat, laut dan udara yang memainkan peranan penting daripada sekecil-kecil tugasan sebagai pembuka pintu kenderaan diraja sehinggalah membentuk Kawalan Kehormatan Utama untuk mempersembahkan Hormat Diraja.
Di samping itu, sebanyak 14 jalan di sekitar ibu kota ditutup secara berperingkat bermula jam 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.
Penutupan jalan secara sementara ini bagi memberi laluan kepada tetamu-tetamu Diraja melalui laluan tersebut dan sampai mengikut masa yang telah ditetapkan dan akan dibuka semula selepas melalui laluan berkenaan.
Jalan yang terlibat adalah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail Lebuhraya Sultan lskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah Selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.
Khutbah Jumaat khas sempena istiadat pertabalan bertajuk 'Raja Ditaati, Negara Dirahmati' menyebut istiadat Pertabalan hari ini cukup signifikan kerana selain menjadi lambang sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia, istiadat itu juga menjulang tinggi darjat Seri Paduka Baginda sebagai payung negara.
#Buletin AWANI Khas #AgongKita #Sultan Ibrahim #Raja Zarith Sofiah
;