#AgongKita: Bersemayam di singgahsana bersejarah
Bernama
Julai 28, 2019 11:11 MYT
Julai 28, 2019 11:11 MYT
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa ini sarat dengan nilai estetika dan sentuhan peribadi Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sekali gus mencatat detik indah bagi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong.
Bagi menjayakan istiadat pertabalan, acara kemuncak yang menjulang sistem raja berperlembagaan, Tunku Azizah ternyata memainkan peranan penting dan terlibat secara langsung bagi pertabalan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara dalam satu acara gilang-gemilang mengikut warisan Kesultanan Melayu.
Istiadat pertabalan ini pastinya akan menjadi detik bersejarah amat bermakna dan nilai sentimental kepada Seri Paduka Baginda berdua kerana ia berlangsung pada Hari Keputeraan ke-60 Sultan Abdullah.
Mencatat sejarah tersendiri, Istiadat Pertabalan Sultan Abdullah akan menyaksikan Malaysia memperoleh pasangan payung mahkota negara yang kedua-dua Seri Paduka adalah anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong terdahulu.
Sultan Abdullah, putera sulung Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah manakala Tunku Azizah, puteri ketiga Almarhum Sultan Iskandar, masing-masing adalah Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kelapan.
Mahu mengimbau saat-saat bersejarah 40 tahun lepas, Tunku Azizah menyatakan hasrat untuk menggunakan singgahsana dan persalinan yang digunakan kedua-dua ayahanda mentua dan ayahanda baginda untuk bersemayam pada hari bersejarah itu.
“Saya sembah kepada Tuanku (SuItan Abdullah), I want to sit on the throne that my mother sat on and your mother sat on, and I want you to sit on the throne that your father sat on and my father sat on. So, singgahsana itu ada sekarang sudah diperbetul, dicantikkan, refurbished. So for Tuanku (Sultan Abdullah) and me it is a very special day that we are actually going to use the throne that our parents used when they were Yang di-Pertuan Agong (“Saya sembah kepada Tuanku (Sultan Abdullah), saya mahu duduk di singgahsana yang diduduki bonda saya dan bonda Tuanku, dan saya mahu Tuanku duduk di singgahsana yang ayahanda Tuanku dan ayahanda saya duduk. Jadi singgahsana itu ada sekarang sudah diperbetul, dicantikkan, diubahsuai. Jadi bagi Tuanku (Sultan Abdullah) dan saya ia adalah hari yang amat istimewa kerana kami sebenarnya akan menggunakan singgahsana yang ayahanda dan bonda kami gunakan apabila mereka adalah Yang di-Pertuan Agong),” titah baginda.
Lebih nostalgik, detik bersejarah itu akan turut dikongsi bersama puteri bongsu Seri Paduka, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah yang akan mengenakan pakaian yang pernah dipakai Tunku Azizah semasa menyaksikan pertabalan ayahanda baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
“Semasa ayahanda saya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, pakaian yang saya pakai itu saya masih simpan, dan anak bongsu, Jihan, is going to wear the baju that I wear to my father’s pertabalan. Jihan sendiri minta, Jihan nak pakai. Maybe on that day I will cry... (Jihan, akan memakai baju yang saya pakai semasa pertabalan ayahanda saya. Jihan sendiri minta, Jihan nak pakai. Mungkin pada itu saya akan menitiskan air mata...),” titah Tunku Azizah dalam wawancara khas bersama Bernama di Istana Negara.
Tunku Azizah turut berhasrat melihat Sultan Abdullah memakai persalinan seperti muskat, tanjak, bengkung dan samping yang pernah dipakai Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1979.
Mengimbau kenangan mengenai muskat, pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, Tunku Azizah berkongsi hubungan erat yang terjalin di antara Almarhum ayahandanya dengan Almarhum ayahanda mentua hingga berkongsi baju muskat yang sama ketika Istiadat Pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Almarhum Sultan Iskandar pada awalnya tidak mahu memakai muskat sebaliknya ingin memakai pakaian seragam tentera seperti yang sering dipakai pada majlis rasmi di negeri Johor.
Tun Mahathir Mohamad, yang ketika itu Perdana Menteri keempat, telah menghadap seminggu sebelum Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan merayu agar Almarhum ayahanda baginda memakai muskat.
"Ayahanda titah mana sempat nak siap dalam masa seminggu. Kemudian ayahanda titahkan saya untuk sembah Tuanku Pahang. Azizah tolong sembah Tuanku Pahang, Bah (panggilan Almarhum ayahanda) nak pinjam jaket dia boleh tak?.
"Jadi muskat yang ayahanda pakai dan tengkolok itu adalah muskat Sultan Pahang. Ia dipakai oleh dua Agong. Saya simpan 40 tahun muskat itu dari tahun 1979 untuk ambil berkat kedua-dua ayahanda. Ingatkan Tuanku (Sultan Abdullah) bolehlah pakai untuk pertabalan nanti, tapi tak muat," titah baginda.
Meskipun hasrat memakai muskat Almarhum Paduka Ayahanda tidak kesampaian, muskat baharu yang akan dipakai Sultan Abdullah tetap mempunyai estetika tersendiri sementelahan rekaan busana rasmi itu adalah sama dengan muskat yang dipakai Almarhum Paduka Ayahanda.
Berkongsi tentang persiapan menjelang Istiadat Pertabalan, Tunku Azizah yang teruja ternyata terlibat secara langsung memberikan suntikan idea dan memperincikan setiap elemen penting acara pertabalan dari awal hingga akhir termasuk merekabentuk Warkah Persilaan, rekaan kad jemputan, persalinan Seri Paduka berdua, pakaian petugas istana, sajian santapan diraja dan hidangan untuk tetamu serta cenderahati.
Warkah Persilaan, yang diutus kepada Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri dan tetamu diraja dari luar negara, kali ini direka sendiri oleh Tunku Azizah, yang unik memaparkan jata negeri-negeri dicetak atas warkah sebagai lambang kesatuan Raja-Raja Melayu.
Sangat mementingkan kesempurnaan, Tunku Azizah, yang mewarisi bakat menjahit dan melukis daripada bondanya Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah, mencipta sendiri corak kain samping yang digunakan Sultan Abdullah. Busana yang ditenun di Istana Brunei itu kemudiannya dijahit sendiri oleh Tunku Azizah.
"Meticulous that’s me (“Teliti itulah saya). Saya nak cantik semuanya. Tambahan Tuanku tidak sempat ditabalkan di negeri sendiri. Jadi saya mahukan kesempurnaan pada acara pertabalan ini nanti," titah baginda, yang amat berharap istiadat penting itu berjalan dengan lancar dan menjadi kenangan terindah buat baginda dan Sultan Abdullah. - Bernama
WAWANCARA eksklusif bersama Al-Sultan Abdullah akan disiarkan di saluran 501, Astro AWANI pada 30 Julai bermula pukul 9 malam dan turut ditayangkan di saluran 104, Astro RIA, saluran 301 (Astro AEC), saluran 201 (Astro VAANAVIL) dan saluran 110 (Astro HELLO).
Para pelanggan Astro juga berpeluang untuk mengenali sisi Al-Sultan Abdullah yang berbeza menerusi satu tayangan perdana dengan baginda pada 30 Julai ini ditonton di www.astroawani.com/live-tv bermula pukul 12 tengah hari.
Sementara itu, pada hari Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini, Astro AWANI akan menayangkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur.
Dan sebagai meraikan istiadat kebesaran diraja Melayu ini, kami di Astro AWANI juga akan menyiarkan pelbagai Laporan Khas Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong mulai 26 Julai ini.
#Agong Kita
#AgongKita
#Al-Sultan Abdullah
#Azizah
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Pahang
#Perdana Menteri
#Pertabalan Agong
#Sultan Pahang
#Yang di-Pertuan Agong
#ydp agong