KUALA LUMPUR: Dalam Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, Sultan Ibrahim buat julung kalinya berkenan mengenakan busana rasmi warisan kebesaran Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Muskat serta Tengkolok Diraja, Pending Diraja dan Keris Pendek Diraja. 

Sebelum ini, Yang Di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengenakan busana rasmi berkenaan dalam Istiadat Pertabalan Baginda dalam istiadat gilang-gemilang yang berlangsung di Istana Negara pada 30 Julai 2019.

Muskat adalah persalinan Istiadat Diraja yang dipakai pada istiadat tertentu seperti pertabalan, pembukaan penggal Parlimen dan lawatan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke luar negara.

Pakaian rasmi ini mula dipakai pada 1960 semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga iaitu Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang diilhamkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Muskat diperbuat dari sulaman emas bullion yang bermotifkan awan larat dan bunga raya iaitu bunga kebangsaan negara.

Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah

Muskat terdiri daripada baju lengan pendek pada bahagian dalam dan jaket yang disarung pada bahagian luar dan dipakai bersama seluar dan sampin bersongket.

Ia dilengkapi dengan pemakaian Pending Diraja di pinggang yang diperbuat daripada emas 10 mutu bertatah dan bersulamkan permata delima dan di tengahnya tertera lambang kerajaan Persekutuan.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah anggun dalam persalinan Kurung Johor berwarna keemasan menarik perhatian jemputan ketika pasangan Diraja itu melangkah untuk bersemayam di atas Singgahsana di Balairong Seri, Istana Negara untuk  Istiadat Pertabalan YDA Ke-17 pada Sabtu.