#AgongKita: Apa jaminan tukar PM, kerajaan tiap tahun? - Al-Sultan Abdullah
Harits Asyraf Hasnan
Januari 29, 2024 14:10 MYT
Januari 29, 2024 14:10 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan menukar Perdana Menteri atau kerajaan sewenang-wenangnya tidak memberi sebarang jaminan kepada sebuah pentadbiran yang lebih baik, titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang di-Pertuan Agong berpandangan demikian selepas melalui pelbagai detik percaturan politik sepanjang lima tahun pemerintahan baginda.
“Ya, ‘orang’ kita sekarang pandai sangat, belajar tinggi sangat, nak mencuba sistem itu, sistem ini.
“Saya fikir, pertukaran (kerajaan) tidak menjamin anda apa-apa. Sama seperti menukar Perdana Menteri dan anggota Kabinet setiap tahun, ia tidak menjamin apa-apa.
“Ini adalah pengalaman saya, dan saya harap apa yang saya katakan tadi biarlah sekurang-kurangnya empat atau lima tahun sekiranya mahu mempersoalkan (pentadbiran kerajaan).
“Not over one year, come on! Not over one year,” titah baginda.
Malah, Al-Sultan Abdullah berpandangan, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan proses peralihan kerajaan seperti melalui pilihan raya.
Malah, beberapa negara Eropah, pada hemat baginda perlu dijadikan teladan kepada Malaysia.
“Kita sudah ada proses demokrasi yang tertulis (Perlembagaan Persekutuan) kita adakan pilihan raya.
“Sekurang-kurangnya (biarlah) empat hingga lima tahun sesebuah kerajaan untuk memerintah.
“Bukanlah sekadar hanya setahun atau dua kita nak tukar sewenang-wenangnya kerana kita sudah perhati bukan sahaja di Malaysia, negara-negara di Eropah... tengoklah keadaan ekonomi mereka,” titah baginda.
Baginda berkongsi pengalaman pemerintahannya itu dalam wawancara bersama beberapa media tempatan dan antarabangsa di Istana Negara, baru-baru ini.
Dalam temu bual itu, Al-Sultan Abdullah sempat berseloroh berkenaan ura-ura wujudnya Langkah Dubai yang turut mengaitkan nama baginda.
“Sebab itu, kalau musim hujung tahun (musim tengkujuh), saya tak ke mana-mana dari dulu.
"Sebab itu tahun ini saya di sini, saya tidak ada di Dubai. Saya tidak ada di mana-mana sekali pun,” titah Al-Sultan Abdullah.
Ikuti wawancara 'Lambaian Mahkota' yang akan disiarkan pada 30 Januari, Selasa bermula jam 8.30 malam di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.
Siaran ulangan 'Lambaian Mahkota' akan disiarkan pada 1 Februari, Khamis bermula 6 pagi di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.
#Yang di-Pertuan Agong
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Langkah Dubai
#Agong Kita