#AgongKita: Alunan Surah Yasin, doa selamat buka tirai Istiadat Pertabalan Baginda

Nickyson Nyambar
Julai 18, 2024 21:12 MYT
Majlis bacaan Surah Yasin adalah acara pertama daripada tujuh acara yang dirancang sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sabtu ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR : Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 membuka tirainya pada Khamis dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara.
Ketibaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada jam 5.18 petang itu terus menangkap lensa kamera yang mana Sultan Ibrahim dilihat memilih mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga berwarna hijau.
Manakala, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pula kelihatan anggun dan dengan mengenakan baju kurung Johor.
Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Bacaan itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Ahmad Hosni serta dihadiri sekitar 1,500 tetamu.
Turut berkenan berangkat YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.
Majlis yang sama turut menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiahsertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua-ketua Perwakilan Asing ke Malaysia dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Majlis bacaan Surah Yasin itu adalah acara pertama daripada tujuh acara yang dirancang sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sabtu ini.
Ini merupakan Istiadat Pertabalan yang unik yang mana proses pelantikan dan pemilihan ketua negara ini berdasarkan sistem penggiliran dan rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan istiadat bersejarah itu nanti.
Acara lain yang turut dirancang untuk menyemarakkan lagi istiadat penting ini termasuk bacaan Khutbah Jumaat Khas yang menekankan kepentingan institusi Raja Berperlembagaan.
Selain itu, turut diadakan Majlis Santapan Diraja yang bakal menghimpunkan ketua-ketua negara, pemimpin-pemimpin utama, pewaris takhta serta anggota monarki dari seluruh pelusuk dunia.
Dalam pada itu Fahmi berkata, antara tetamu undangan khas yang dijadual akan hadir pada Istiadat Pertabalan Baginda adalah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.
Acara Istiadat Pertabalan, akan diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai.
#Istiadat Pertabalan Baginda #undangan khas #Jamuan Teh Diraja
;