#AgongKita: Al-Sultan Abdullah perjelas lantikan PM, musyawarah bersama MRR
Harits Asyraf Hasnan
Januari 29, 2024 14:20 MYT
Januari 29, 2024 14:20 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan keputusan melantik tiga Perdana Menteri semasa pemerintahan baginda merupakan keputusan yang dibuatnya sendiri.
Ia sekali gus menangkis dakwaan sesetengah pihak kononnya pelantikan Perdana Menteri dibuat berdasarkan keputusan Majlis Raja-Raja (MRR), dan bukan keputusan Yang di-Pertuan Agong.
“Semua keputusan adalah keputusan Agong. Cuma apa yang saya buat ialah saya menyatakan apa-apa isu kepada MRR.
“Saya bermusyawarah, berbincang, mendengar pandangan dan cadangan, serta memaklumkan keputusan saya kepada MRR.
“Keputusan yang dibuat adalah keputusan Agong dan bukan keputusan MRR. Itu sahaja,” jelas baginda.
Menurut Al-Sultan Abdullah, tindakan baginda mengadakan perbincangan bersama MRR adalah atas rasa tanggungjawab, lantaran baginda dipilih dalam kalangan MRR.
Justeru, baginda bertitah adalah wajar untuk baginda memaklumkan sebarang permasalahan, keputusan dan pandangan kepada MRR.
Baginda berkongsi pengalaman pemerintahannya itu dalam wawancara bersama beberapa media tempatan dan antarabangsa di Istana Negara, baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas berkenaan peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berpandangan beberapa perkara boleh ditambah baik seiring usaha memperkukuh institusi tersebut.
“Mungkin boleh diperkukuhkan lagi apakah peranan selain daripada mengambil tabik sahaja, itu boleh dihalusi peranan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
“Saya akan beri pandangan sendiri, saya tak boleh dedahkan ketika ini.
“Ini termasuk polis di mana ada cadangan untuk menjadikan Agong sebagai Suruhanjaya Kehormat, jika tidak silap saya di mana perkara ini akan dibincangkan di Parlimen.
“Ini hanya formaliti…supaya Agong boleh pakai pakaian polis. Sesuailahkan? Sebab Polis Diraja Malaysia, ketika ini tidak boleh,” titah baginda.
*Ikuti wawancara 'Lambaian Mahkota' yang akan disiarkan pada 30 Januari, Selasa bermula jam 8.30 malam di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.
*Siaran ulangan 'Lambaian Mahkota' akan disiarkan pada 1 Februari, Khamis bermula 6 pagi di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.