#AgongKita: Al-Sultan Abdullah hargai nilai persahabatan - Rakan sekolah

Rahimah Abdullah
Julai 30, 2019 13:44 MYT
Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disifatkan sebagai seorang yang menghargai nilai persahabatan termasuk rakan di sekolah rendah dan menengah. -Bernama
Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disifatkan sebagai seorang yang tahu menghargai nilai persahabatan termasuk rakan di sekolah rendah dan menengah.
Mendedahkan perkara itu, rakan sejak sekolah rendah Zoolkefely Md Lazim berkata Tuanku akan memastikan hubungan dengan rakan tidak terputus dan menganjurkan perjumpaan semula dengan mereka.
"Dari sekolah rendah ke sekolah menengah, sehingga baginda melanjutkan pelajaran ke luar negara. Baginda kemudian tetap mencari kawan untuk reunion. Baginda dapat jumpa, kami dapat berhubung selepas 30 tahun.
"Semasa reunion, Agong tidak dapat hadir sebab baginda ada di China semasa Sukan Komanwel. Baginda minta maaf tidak dapat datang dan berkata akan jemput kami suatu masa nanti di Istana Abdul Aziz.
"Dengan izin Allah, baginda jemput reunion pertama di Istana. Kami dapat hubungi kawan-kawan kami pada masa itu ada 30 pelajar dan guru. Itu reunion pertama semasa baginda sebagai Tengku Mahkota Pahang.
"Selepas itu, kami dijemput lagi sempena ulang tahun Agong di Istana Sultan Abdul Aziz dan kami berjumpa lagi dan sehingga ke hari ini hubungan kami dengan Agong tidak pernah putus," katanya kepada Astro AWANI dalam program Buletin AWANI Khas pada Selasa.
Malah, sepanjang majlis pertemuan semula dengan rakan sekolah berkenaan, tidak wujud suasana janggal antara Al-Sultan Abdullah dan sahabat kerana sikap mesra baginda.
"Agong ini memang mesra, datang dekat kita dan bertanya khabar kita. Tanya pasal kesihatan kita. Jadi kita tidak rasa kekok dan kami rasa macam zaman sekolah dulu.
"Apabila baginda kata jaga keluarga dan kesihatan, saya masih teringat-ingat kata-kata baginda itu," ujarnya.
Justeru, beliau mendoakan Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat mengetuai negara dengan sebaiknya.
"Sebagai sahabat Agong semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah, saya dapat lihat upacara pertabalan ini, saya sangat gembira," kata beliau.
#AgongKita #Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #hargai nilai persahabatan #rakan sekolah #Yang di-Pertuan Agong
;