#AgongKita: Al-Sultan Abdullah bukan seperti anak raja ketika di sekolah - Rakan
Rahimah Abdullah
Julai 30, 2019 11:11 MYT
Julai 30, 2019 11:11 MYT
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukan seperti anak raja di sekolah dan sentiasa merendah diri semasa bergaul dengan rakan-rakan.
Rakan sekolah baginda, Datuk Mohd Sohaimi Datuk Hamid mendedahkan sikap terpuji itu sentiasa ditunjukkan Tuanku sehingga menyebabkan kebanyakan rakan sangat selesa bergaul dengan Al-Sultan Abdullah.
"Sifat Tuanku itu yang saya tidak akan lupa. Apabila baginda bermain hoki, baginda tidak menunjukkan bahawa baginda ini seorang anak raja.
"Baginda jatuh semasa bermain bola dan semasa main hoki. Baginda menganggapnya sebagai one of the game.
"Jadi tiada masalah bagi baginda. Satu perkara lagi, apabila bergaul semasa di sekolah, semasa waktu rehat, Tuanku tidak seperti anak raja di sekolah.
"Sikap rendah diri baginda sejak dari sekolah lagi sampailah sekarang," katanya kepada Astro AWANI dalam program Buletin AWANI Khas, pada Selasa.
Tambahnya, sifat kepimpinan sentiasa ditunjukkan Tuanku di sebalik keperibadian baginda, namun baginda tetap dilihat tidak bersikap 'bossy' dalam kalangan rakan.
"Baginda dipilih mewakili negeri semasa bermain bola sepak dan begitu juga hoki. Namun, baginda menunjukkan karakter ketua dan menunjukkan kami. Namun baginda tidak bossy. Itulah sifat Tuanku," ujarnya.
Malah, katanya, Tuanku sentiasa mengingati rakan dan tidak melupakan mereka.
"Sifat merendah diri baginda. Saya dan baginda sentiasa berhubung WhatsApp. Tuanku sentiasa bertanya mengenai apa perkara sahaja. Seperti reunion baru-baru ini, itu adalah idea Tuanku," tambahnya.
Malah, majlis reunion berkenaan telah dilakukan sebanyak dua kali, menandakan baginda sangat menghormati rakan-rakan.
Justeru, beliau merafak sembah tahniah kepada Al-Sultan Abdullah atas Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong ke-16 dan mendoakan baginda sentiasa dilindungi serta dikurniakan kesejahteraan.
#AgongKita
#Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#anak raja
#Mohd Sohaimi Datuk Hamid
#tidak bossy