#AgongKita: Agong zahir pujian buat pelajar bekerja tukang cuci untuk bawa ibu bapa hadir majlis graduasi di UK
Bernama
Julai 26, 2019 04:00 MYT
Julai 26, 2019 04:00 MYT
Kisah seorang pelajar Malaysia yang bekerja sebagai tukang cuci ketika menuntut di United Kingdom semata-mata untuk menghadiahkan tiket penerbangan kepada kedua ibu bapanya hadir ke majlis graduasinya bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat Malaysia tetapi mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pujian kepadanya.
Muhammad Afiq Ismail, 23, dari Kuala Krai, Kelantan seperti dilaporkan oleh akhbar berbahasa Melayu bekerja part-time sehingga 20 jam sehari, dengan membahagikan masa untuk kuliah dan masa lapangnya dengan bekerja sehingga akhirnya berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) di University of Essex, UK.
Kerana tersentuh dengan kisah hidup dan mengagumi usahanya yang bekerja keras dan dedikasi, Seri Paduka dalam satu kenyataan kepada media, menzahirkan ucapan tahniah kepada Afiq atas kejayaannya yang luar biasa.
"Seri Paduka juga kagum dengan sikap Afiq yang menghormati dan taat kepada kedua ibu bapanya selain mengagumi pengorbanan anak muda itu sehingga membolehkan dia mencapai tahap kejayaan ini. Perjalanan hidup Afiq dan kedua orang tuanya harus menjadi inspirasi kepada semua," titah baginda.
Kisah Muhammad Afiq baru-baru ini dikongsi di Facebook oleh rakannya dan sejak itu telah tular di media sosial.
Menurut akhbar tersebut, graduan perakaunan dan kewangan itu kini membuat persiapan untuk kembali ke tanah air untuk memulakan kerjaya profesional di sebuah firma audit pada Oktober.
-- BERNAMA
WAWANCARA eksklusif bersama Al-Sultan Abdullah akan disiarkan di saluran 501, Astro AWANI pada 30 Julai bermula pukul 9 malam dan turut ditayangkan di saluran 104, Astro RIA, saluran 301 (Astro AEC), saluran 201 (Astro VAANAVIL) dan saluran 110 (Astro HELLO).
Para pelanggan Astro juga berpeluang untuk mengenali sisi Al-Sultan Abdullah yang berbeza menerusi satu tayangan perdana dengan baginda pada 30 Julai ini ditonton di www.astroawani.com/live-tv bermula pukul 12 tengah hari.
Sementara itu, pada hari Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini, Astro AWANI akan menayangkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur.
Dan sebagai meraikan istiadat kebesaran diraja Melayu ini, kami di Astro AWANI juga akan menyiarkan pelbagai Laporan Khas Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong mulai 26 Julai ini.
#AgongKita
#Al-Sultan Abdullah
#graduasi
#ibu bapa
#Kuala Krai
#Muhammad Afiq Ismail
#penerbangan
#rakyat Malaysia
#tiket penerbangan
#tukang cuci
#United Kingdom
#Yang di-Pertuan Agong