Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Naib Presiden AFC Saud Abdulaziz
Bernama
Januari 17, 2023 12:29 MYT
Januari 17, 2023 12:29 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Saud Abdulaziz al-Mohannadi yang meninggal dunia baru-baru ini.
Menerusi hantaran dalam Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan kepada insan tersayang dan keluarga Allahyarham agar sabar, tabah dan cekal dalam suasana sedih dan pilu ini.
Al-Sultan Abdullah, bekas Naib Presiden AFC dan ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengiktiraf legasi dan sumbangan besar Saud Abdulaziz terhadap pembangunan bola sepak di Qatar dan benua Asia.
"Pemergiannya ialah satu kehilangan besar kepada komuniti bola sepak Qatar dan Asia," menurut hantaran itu.
Seri Paduka Baginda juga mendoakan agar roh Allahyarham Saud Abdulaziz dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Menurut laporan berita antarabangsa, Saud Abdulaziz, 66, yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Qatar dan ahli Majlis FIFA meninggal dunia Selasa lepas (10 Jan).
-- BERNAMA