Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram
Astro Awani
Mei 17, 2024 15:36 MYT
Mei 17, 2024 15:36 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
Menerusi ciapan di laman Instagram @officialsultanibrahim, Baginda turut memfidyahkan Al-Fatihah kepada wira negara yang terkorban dalam tragedi itu.
‘’KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram, pada hari ini (17 Mei).
"Al-Fatihah buat dua wira negara yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,’’ titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan dua anggota polis maut dan seorang lagi cedera selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian sekitar 2.54 pagi itu, suspek yang bersenjatakan pistol dan parang turut dilaporkan mati ditembak dilokasi kejadian.
Polis selepas itu mengesahkan lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi, merupakan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, suspek yang berusia 34 tahun itu sememangnya membuat persediaan untuk melakukan serangan yang mengorbankan dua anggota polis itu.
#Yang di-Pertuan Agong
#Sultan Ibrahim
#Jemaah Islamiyah
#serangan Balai Polis Ulu Tiram
#ucapan takziah