Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Dr Md Farid

Bernama
September 21, 2019 13:31 MYT
Allahyarham, 42, meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira pukul 6 pagi tadi, meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia sekitar 6 pagi tadi di Hospital Pontian, Johor.
Baginda turut menzahirkan rasa simpati dan sedih terhadap pemergian Allahyarham Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu serta berharap seluruh keluarga tabah menghadapi suasana pilu dan dugaan dari Allah SWT.
"Allahyarham berada di Istana Negara semalam (Jumaat) menunaikan solat Jumaat bersama Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di surau Istana Negara sempena sambutan Hari Pahlawan yang disambut bulan ini.
"Allahyarham juga turut sembah takzim dan beramah mesra dengan baginda selepas menunaikan solat Istisqa menolak bencana jerebu yang dilaksanakan selepas solat Jumaat," menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
Baginda juga mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Menurut Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Mohd Solihan Badri, Md Farid, 42 yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai dan merupakan Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.
-- BERNAMA
#Bersatu #Dr Md Farid Md Rafik #Mahathir Mohamad #meninggal dunia #serangan jantung #Tanjung Piai #Yang di-Pertuan Agong
;