Agong zahir takziah kepada keluarga ADUN Chini

Bernama
Mei 7, 2020 10:40 MYT
Allahyarham Abu Bakar meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi ini. -Gambar fail
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri Chini, Pahang yang meninggal dunia akibat serangan jantung, awal pagi ini.
BACA: ADUN Chini Abu Bakar Harun meninggal dunia
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham ke rahmatullah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.
"Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua," katanya dalam satu kenyataan Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.
-- BERNAMA
#Abu Bakar Harun #Ahmad Fadil Shamsuddin #Al-Sultan Abdullah #Istana Negara #serangan jantung #Seri Paduka #Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #Yang di-Pertuan Agong