Agong zahir sukacita pelbagai kejayaan, prestasi tinggi ATM
Bernama
Januari 8, 2024 12:40 MYT
Januari 8, 2024 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat sukacita dengan pelbagai kejayaan dan prestasi tinggi yang dipamerkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah yang juga Pemerintah Tertinggi ATM ketika bertitah pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih sempena tamat pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Al-Sultan Abdullah bertitah sejak penubuhannya, ATM menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara, dengan warga ATM sentiasa gagah perkasa tanpa mengira masa, cuaca serta kesenangan peribadi untuk membelah samudera, merentasi ruang angkasa dan mengharungi hutan belantara, sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.
Baginda bertitah ketika negara dibelenggu pandemik COVID-19 dan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang ketat, warga ATM berjuang di barisan hadapan bagi menentukan struktur pentadbiran dan keselamatan negara masih berdiri kukuh tanpa diganggu-gugat.
"Begitu juga pada saban kali bencana melanda, ATM adalah antara agensi yang pertama tiba menghulurkan bantuan demi untuk membantu rakyat jelata daripada musibah yang melanda," titah baginda.
#Yang di-Pertuan Agong
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#ATM
#Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih