Agong zahir sukacita, kesyukuran 30 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air

Bernama
April 29, 2023 15:28 MYT
Semalam, tiga puluh orang rakyat Malaysia terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, tiba di KLIA kira-kira 2.54 petang melalui penerbangan Saudi Arabian Airlines dari Jeddah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan syukur kerana 30 rakyat Malaysia diselamatkan dari Khartoum, ibu negara Sudan yang dilanda konflik, selamat tiba di tanah air semalam.
Al-Sultan Abdullah menerusi akaun Facebook Istana Negara, turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya pasukan operasi dari Malaysia dan di Sudan diketuai Duta Besar Malaysia ke Sudan (Mohamad Razdan Jamil), atas usaha dan kejayaan membawa pulang rakyat dengan segera demi keselamatan mereka.
Penghargaan juga diberikan kepada pemimpin dan Kerajaan Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan yang diberikan dalam operasi berkenaan.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah tidak ketinggalan menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat dan masjid-masjid yang melakukan solat hajat dan doa selamat bagi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu.
Semalam, tiga puluh orang rakyat Malaysia terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 2.54 petang melalui penerbangan Saudi Arabian Airlines dari Jeddah.
Pada Khamis lepas, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata usaha membawa keluar rakyat Malaysia menerusi misi menyelamat oleh Pasukan Khas Ops Sudan, pastinya lebih sukar sekiranya tiada pembabitan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Zambry, Al-Sultan Abdullah sendiri telah menghubungi Presiden UAE untuk membantu operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan, manakala tindakan Perdana Menteri menghubungi pemimpin Sudan bagi mendapatkan laluan keselamatan sewaktu perjalanan sejauh 1,233 kilometer (km) dilakukan dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan telah menyumbang kepada kejayaan operasi yang amat kompleks itu.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #konflik Sudan #rakyat Malaysia #Arab Saudi
;