Agong zahir harapan 50 peratus tanah di Malaysia dilitupi hutan
Ridauddin Daud
Februari 28, 2022 12:12 MYT
Februari 28, 2022 12:12 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar kerajaan dapat mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah di Malaysia dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok.
Titah Baginda, sasaran itu dapat dicapai melalui pelaksanaan amalan pengurusan hutan secara berkekalan kerana perlindungan dan kelestarian alam sekitar perlu diutamakan.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah agar kawasan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai geopark hendaklah dikekalkan dan dipelihara.
“Selaras dengan aspirasi untuk mencapai sasaran pelepasan karbon bersih sifar menjelang tahun 2050, strategi pertumbuhan hijau yang bakal dilaksanakan ialah penerima gunaan ekonomi kitaran, pembangunan rendah karbon serta pengukuhan tindakan daya tahan perubahan iklim dan bencana termasuk faktor geologi.
“Beta percaya strategi yang telah dirangka tersebut akan menjadikan ekonomi agar lebih mampan, inovatif dan berdaya saing serta mewujudkan peluang pertumbuhan ekonomi yang baharu,” titah Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya pada Isnin.
Titah Yang di-Pertuang Agong lagi, bagi menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan, mekanisme pengurusan bencana pula hendaklah sentiasa ditambah baik dan turut melibatkan peranan dan tanggungjawab rentas sosial.
“Dalam masa yang sama, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan hendaklah dilaksanakan secara berterusan.
“Pembangunan sistem amaran bencana berpusat dan peningkatan sistem saliran terutamanya di kawasan berpenduduk padat khususnya di lokasi yang berisiko tinggi berlakunya bencana hendaklah terus dipergiatkan.
“Langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang termasuk kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat hendaklah segera dilaksanakan,” titah Baginda.
Tambah Seri Paduka Baginda, pelaksanaan kerja-kerja pembersihan awam dan penyelenggaraan kemudahan tebatan banjir hendaklah dilakukan secara berkala.