Agong zahir dukacita, pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan Baginda

Afiezy Azaman
Julai 29, 2021 04:05 MYT
Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran Perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.
“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majliis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua ordinan darurat dibentangkan dan dibahasakan di Parlimen tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
[TERKINI] YDP Agong dukacita pembatalan Darurat dibuat sebelum diperkenan Baginda
Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Menteri di Parlimen ada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Tambah beliau, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai 2021 telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.
“Bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa baginda selaku Ketua Utama Negara mempunyai kewajipan untuk meyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang Tindakan yang tidak berpelembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang-di Pertuan Agong,” tegasnya.
Sumber Facebook IstanaNegaraOfficial
Tambah Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Seri Paduka Baginda menegaskan Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemic COVID-19.
“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.
[LAPOR LANGSUNG] Hari keempat sidang Mesyuarat Khas Parlimen
Pada 26 Julai lalu, Takiyuddin dalam Mesyuarat Khas Parlimen berkata, kerajaan memutuskan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila darurat tamat pada 1 Ogos ini.
Menurut beliau, kerajaan juga bersetuju untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat sebelum ini.
“Saya ingin mengesahkan pada hari ini, di dalam dewan ini, saya tertakluk kalau saya cakap tidak benar bahawa Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat bila tamat pada 1 Ogos 2021," kata Takiyuddin.
BACA: Mesyuarat Khas Parlimen: Kerajaan putuskan tidak nasihat Agong untuk isytihar darurat baharu
Susulan kenyataan Takiyuddin itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun agar tidak bersekongkol dengan mereka yang didakwa beliau mengelirukan Dewan.
Gesaan dibuat selepas Speaker Dewan Rakyat itu memaklumkan hari ini bahawa isu pembatalan Ordinan Darurat yang dibangkitkan akan diperjelaskan pada Isnin nanti dan bukan secepat mungkin.
BACA: Mesyuarat Khas Parlimen: Speaker jangan lindungi Menteri yang mengelirukan Dewan - Anwar
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #dukacita #zahir #Parlimen #Ordinan Darurat