Agong yakin peluang ekonomi Malaysia-China masih luas
Bernama
Oktober 5, 2013 08:42 MYT
Oktober 5, 2013 08:42 MYT
Yang di- Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yakin masih terdapat peluang ekonomi yang luas untuk diterokai dan dimanfaatkan para pelabur serta usahawan Malaysia dan China.
Seri Paduka yakin, komuniti perniagaan Malaysia dan China akan terus mengeratkan hubungan dan memanfaatkan peluang ekonomi yang telah diwujudkan kedua-dua kerajaan.
Bertitah dalam jamuan negara bagi meraikan Presiden China Xi Jinping, yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia, di sini, Jumaat malam, Tuanku Abdul Halim percaya hubungan dua hala antara kedua-dua negara menjadi semakin rapat dan China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar.
"Malaysia dan China sentiasa mempunyai jalinan akrab. Pertalian di antara ramai rakyat Malaysia dan China adalah lantaran faktor ikatan sejarah, keturunan dan hubungan budaya antara kedua-dua buah negara.
"Ekonomi kita telah berkembang bersama-sama dan saling mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi masing-masing. Kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, sains dan teknologi serta kewangan telah meningkat dengan ketara," titah Seri Paduka.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis jamuan negara yang diadakan di Istana Negara.
Yang turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Xi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia semalam. Beliau diiringi isterinya Peng Liyuan.
Seri Paduka bertitah, dunia hari ini mengiktiraf pentingnya China dalam hal ehwal serantau serta global dan kejayaan ekonomi China yang luar biasa telah menjadikan China sebagai kuasa berpengaruh di dalam ekonomi global.
"China kekal sebagai rakan ekonomi Asean yang kukuh. Ianya amat memberangsangkan apabila China, di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama, terus berusaha memelihara hubungan baik dengan negara-negara di rantau ini, seperti yang dicerminkan oleh lawatan Tuan Yang Terutama.
"Beta dan Raja Permaisuri Agong yakin bahawa dengan China di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama, hubungan akrab dan saling bermanfaat yang sedia terjalin dengan Malaysia ini akan terus diperkukuh dan diperkembangkan di masa-masa hadapan," titah Seri Paduka.
Sementara itu, Xi berkata China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi faedah dan pembangunan bersama.
"Saya percaya, selagi kedua-dua pihak bekerjasama, kerjasama praktikal kita akan membawa faedah yang lebih kepada rakyat dan hubungan China-Malaysia akan mempunyai masa depan lebih cerah," katanya.
Beliau berkata, tahun depan menandakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik China-Malaysia dan kedua-dua negara telah diberkati dengan kerjasama lebih rapat dan kepentingan bersama lebih luas.
"Sejak empat dekad, terima kasih atas usaha bersepadu yang berterusan oleh generasi pemimpin dan rakyat kedua-dua negara, hubungan kita berjaya merentasi masa dan perubahan landskap antarabangsa serta menunjukkan kekuatan luar biasa.
"Dalam dunia globalisasi dan aplikasi teknologi maklumat, nasib China dan Malaysia semakin saling berkaitan. Hubungan kita sangat penting kepada kedua-dua negara," katanya.