Agong titah kerajaan, semua pihak berganding bahu kembalikan negara ke persada kejayaan

Astro Awani
Jun 5, 2022 22:17 MYT
Al Sultan Abdullah bertitah, pengurusan negara dalam era pascapandemik memerlukan suatu rencana yang mantap mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kerajaan dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan.
Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah juga bertitah, seluruh rakyat berperanan dalam mendukung usaha-usaha murni kerajaan di samping terus berusaha untuk mendepani sebarang cabaran.
Titah baginda, pengurusan negara dalam era pascapandemik memerlukan suatu rencana yang mantap mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan.
"Pemulihan negara memerlukan simbiosis yang erat antara kerajaan dan rakyat beta. Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang adalah sebenarnya merupakan resepi dan kekuatan dalam membentuk aspirasi nasional.
"Ia adalah merupakan tiang kemakmuran negara dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan. Pemulihan dan kebangkitan negara yang diimpikan tidak mungkin akan menjadi realiti jika kita berpecah-belah dan gagal untuk mewujudkan landskap kehidupan yang stabil.
"Justeru, bersempena dengan sambutan rasmi Ulang Tahun Keputeraan beta pada tahun ini, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam sebuah kesepaduan yang erat ke arah membentuk Malaysia yang gemilang," titah baginda dalam Perutusan Khas Sempena Keputeraan Rasmi 2022.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengajak pemimpin negara dan anggota perkhidmatan awam untuk terus berkhidmat setulus hati dalam menentukan sosio ekonomi rakyat terus dilindungi dan dibantu demi kelangsungan hidup mereka.
Baginda turut berpesan agar rakyat berterusan menyokong usaha-usaha dan dasar kerajaan agar program yang digubal dapat dinikmati oleh semua.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu berganding bahu dan menggalas tanggungjawab masing-masing, ibarat kata pepatah 'ke bukit sama didaki; ke lurah sama dituruni.
"Beta dan Raja Permaisuri Agong akan terus mendoakan agar semua usaha-usaha ini diberi keberkatan oleh Allah subhanahu wata'ala dan dipermudahkan dalam mencapai hasrat yang diidamkan.
"Mengakhiri titah, beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan beta, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan negara.
"Beta dan Raja Permaisuri Agong turut merakamkan ucapan tahniah di atas pencapaian atlet-atlet negara dalam temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, baru-baru ini," titah baginda.
#Yang di-Pertuan Agong #Hari Keputeraan Rasmi #titah ucapan #kejayaan
;