Agong titah agensi terlibat, rakyat siap siaga hadapi kemungkinan banjir besar

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 9, 2022 10:10 MYT
Baginda juga berharap agar semua agensi bertanggungjawab turut melakukan perkara sama dalam menangani kemungkinan bencana tersebut. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pihak agar bersiap sedia dan memperkemas diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir berskala besar pada November ini seperti mana diramal Jabatan Meteorologi.
Baginda juga berharap agar semua agensi bertanggungjawab turut melakukan perkara sama dalam menangani kemungkinan bencana tersebut.
"Pada kesempatan ini beta ingin mengingatkan seluruh rakyat beta untuk memperkemaskan diri dan melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal dihadapi kelak.
"Beta turut meminta agar semua agensi-agensi yang berkaitan untuk membuat persediaan yang rapi secara menyeluruh demi kemaslahatan ummah.
"Persediaan tersebut bukan hanya dalam aspek mengurangkan kesan banjir, tetapi merangka satu kaedah bagi bagi bantuan kepada mangsa banjir dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif," titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H Bersamaan 2022.
Sempena sambutan Maulidur Rasul bertemakan 'Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran' kali ini, baginda turut menyeru semua pihak agar menyatukan ikatan hati dan menumpukan usaha ke arah memelihara kemaslahatan ummah.
"Janganlah kita terlalu jauh menyimpang dari landasan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Baginda telah memberi contoh model yang cukup sempurna untuk kita teladani bersama. Baginda telah menerangi kita dengan jalan yang benar lagi adil.
Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, jelas Sultan Abdullah, bukanlah hanya berkonsepkan teologi dan spiritual semata-mata, tetapi juga memandu umatnya mengharungi pelbagai aspek dalam kehidupan.
Malah, ia turut merangkumi konsep pentadbiran berasaskan 'good governance' politik, ekonomi, keselamatan dan keadilan.
"Baginda mengajar setiap pemimpin untuk pertamanya menetapkan niat yang betul. Setelah itu berlaku jujur dalam menjalankan amanah dan meletakkan nilai ketakwaan kepada Allah SWT.
"Baginda mengajar setiap pemimpin untuk pertama untuk pertamanya menetapkan niat yang betul. Setelah itu berlaku jujur dalam menjalankan amanah dan meletakkan nilai ketakwaan kepada Allah SWT sebagai pegangan utama.
"Konsep pemerintahan yang dituntut Islam adalah merupakan satu amanah yang sentiasa berada dalam ruang lingkup ikatan perjanjian di antara manusia dengan penciptaNya," titah baginda lagi.
Justeru, jelas baginda, setiap apa yang dilakukan oleh semua pemimpin hendaklah dibuat semata-mata atas dasar menjaga kemaslahatan rakyat dan kerana demikian itu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Kemuncak kepada usaha dakwah Rasululllah SAW, ialah dengan terbinanya sebuah kerajaan Islam yang menghasilkan kesatuan masyarakat Madinah yang berbilang kaum, etnik dan agama.
Baginda Rasulullah SAW juga telah berjaya membentuk masyarakat tersebut menerusi formula sosial, politik dan ekonomi seperti yang terkandung dalam sejarah Piagam Madinah.
"Kita semua wajar mengambil iktibar bahawa kecemerlangan kerajaan Madinah adalah kerana kekuatan sosiopolitik yang menjamin hak dan keadilan warga, keberkesanan penyatuan ummah dan pembangunan ekonomi yang dinamik," titah Sultan Abdullah lagi.
#Yang di-Pertuan Agong #bencana banjir berskala besar #agensi terlibat bersiap sedia #Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan
;