Agong terima menghadap PM untuk mesyuarat Pra-Kabinet terakhir sebelum tamat pemerintahan
Bernama
Januari 23, 2024 18:50 MYT
Januari 23, 2024 18:50 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara petang ini.
Istana Negara menerusi catatan di Instagram dan Facebook rasmi memaklumkan sesi itu juga cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin khususnya Al-Sultan Abdullah kerana ia adalah mesyuarat terakhir sebelum Seri Paduka menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Jan ini.
Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda berkenan berangkat menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet sebanyak 160 kali termasuk sesi hari ini, dengan empat Perdana Menteri.
Turut hadir pada sesi hari ini Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mesyuarat Pra-Kabinet yang pertama ialah pada 13 Feb 2019.
Mesyuarat itu adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat bersama Perdana Menteri mengenai urusan serta isu berkaitan kerajaan.
Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 bagi tempoh lima tahun.
-- BERNAMA