Agong terima menghadap Ketua Staf Pertahanan UK
Firdaus Azil
Oktober 1, 2021 15:36 MYT
Oktober 1, 2021 15:36 MYT
LONDON: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, Jeneral Sir Nicholas Patrick di London pada 29 Sept lepas.
Istana Negara melalui satu perkongsian di Facebook hari ini berkata, Sir Nicholas pernah bersama-sama dengan Al-Sultan Abdullah, ketika menimba ilmu ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.
Menerusi pertemuan yang berlangsung kira-kira 45 minit itu, mereka berdua menyentuh hubungan dua hala pertahanan di antara Malaysia dan United Kingdom serta peningkatan kerjasama yang berterusan antara kedua-dua negara dalam aspek latihan dan pertahanan.
“Antara isu-isu semasa lain yang disentuh pada sesi menghadap ini berkait dengan COVID-19, kemanusiaan, industri pertahanan, keselamatan serantau dan juga perkembangan terkini di Afghanistan,” menurut catatan itu lagi.
Istana Negara berkata, turut hadir pada sesi pertemuan itu ialah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar, Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, Charles Hay; Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin; Penasihat Pertahanan Brigadier Jeneral Safwan @ Asri Ismail; serta Ketua Staf kepada Panglima Angkatan Tentera United Kingdom, Laksamana Anthony Rimington.
Istana Negara berkata, berdasarkan peranan yang telah dimainkan oleh Sir Nicholas bagi meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang pertahanan ini, Seri Paduka Baginda berkenan untuk menganugerahkan Pingat Panglima Gagah Angkatan Tentera (Knight Grand Commander of the Order of Military Service) kepada beliau.
Menurut kenyataan itu lagi, penganugerahan itu akan dikendalikan menerusi Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat.
Selain itu, Istana Negara berkata, Sir Nicholas dijadualkan bersara daripada perkhidmatan pada bulan Disember 2021.
Dalam satu perkongsian yang berlainan, Istana Negara berkata, Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat menghadiri majlis perjumpaan semula (reunion) bersama para rakan sepasukan di Royal Military Academy Sandhurst di London, pada Khamis (30 September).
“Seri Paduka Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.
“Pada majlis ini, Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbas kenangan manis dengan para rakan sepasukan, masing-masing sebagai pegawai kadet, ketika bersama menuntut di akademi berkenaan lebih 40 tahun lalu,” menurut perkongsian itu lagi.